Saturday 6 December 2014

Nilai Estetik dalam Karya Agung Melayu




Nilai estetik berbeza daripada nilai estetika. Nilai estetik menyentuh perkara berkaitan bukan bersifat keindahan. Namun, nilai estetika merupakan cabang falsafah yang mengkaji konsep keindahan. Perkataan estetik berasal dari perkataan Yunani iaitu aesthesis. Aesthesis bermaksud hal-hal yang dapat diserap oleh pancaindera. Perkataan aesthesis dikenali juga sebagai persepsi pancaindera yang bermaksud kepekaan manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Baumgarten (1714-1716), ahli falsafah Jerman merupakan orang pertama yang memperkenalkan perkataan aesthesis. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, estetik bermaksud bukan berkaitan keindahan. 

a)      Retorik
Pengarang juga lazim menggunakan beberapa jenis retorik untuk mencantikkan lagi jalan cerita karya agungnya. Antara retorik yang terdapat dalam karya agung yang boleh kita lihat ialah retorik pemerian, retorik pendedahan,  retorik pemujukan, retorik penceritaan dan sebagainya.
            Retorik pemerian dalam Hikayat Abdullah yang kita dapat lihat seperti,
Setelah naik ke darat dan melihat tempat serta gunung-gunungnya, Kolonel Farquhar suka. Dipenuhi karang dan batu belaka.
(Hikayat Abdullah: 150)

            Retorik penceritaan dalam Hikayat Abdullah pula seperti berikut,
Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan bersetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jeneral untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dan Teluk Semawi yang hendak berperang.
(Hikayat Abdullah: 155)

Selain itu, retorik lain seperti retorik pendedahan. Retorik ini boleh kita lihat dalam Hikayat Tuhfat al-Nafis. Contohnya,
Kemudian telah putus(lah) musyawarah itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan Kundur) itu pada (saudara sepupunya) Raja Abdullah, dan Pulau Kundur itu menjadi ketetapan selama-lamanya kepada Raja Ali Haji berdua bersaudara dengan Raja Abdullah (itu pada)
mengamanahkan(nya) pada meramaikannya, dan hasil(hasil)nya dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya itu. Melainkan Pulau Kundur tiada termasuk bahagian yang lima itu.
(Tuhfat al-Nafis: 616)

Dalam karya Tuhfat al-Nafis, pengarang turut mengetengahkan retorik pemujukan. Retorik pemujukan dalam karya yang ditulis bukanlah seperti retorik pemujukan yang digunakan dalam iklan. Retorik pemujukan dalam karya agung Tuhfat al-Nafis lebih kepada pemujukan tidak rasional dan emosi. Misalnya,
Maka berkatalah Pangeran Dipati itu kepada Gusti Jameril,
“adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pililah anakku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku”
Maka jawab Gusti jameril,
“adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan. Bermohonlah patik mengadap paduka anakanda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu”
(Tuhfat al-Nafis: 232)

b)      Gaya bahasa
Gaya bahasa merupakan cara penggunaan bahasa oleh pengarang. Secara tepatnya, gaya bahasa juga didefinisikan sebagai susunan perkataan yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan idea, perasaan dan maksud dalam penulisannya. Penggunaan gaya bahasa yang bervariasi menghasilkan kesan estetika iaitu kesan estetika dalam karya.
            Penggunaan gaya bahasa anafora dapat dikesan dalam Hikayat Abdullah. Anafora merupakan pengulangan kata di depan ayat. Contoh
            Dia ketakutan melihat ramai orang berhampiran perahunya, lalu terjun ke laut ketika ombak besar. Dia hilang dibawa arus ke laut.
(Hikayat Abdullah: 160-161)
Perkataan dia mewakili gaya bahasa anafora. Hal ini kerana perkataan dia diulang pada bahagian depan ayat. Walaupun kelihatan tidak gramatis dan ayat tersebut boleh digabungkan, tapi unsur ini yang memberi keindahan kepada penulisan Abdullah Munsyi.
Penggunaan gaya bahasa personifikasi iaitu bahasa yang memberi sifat manusia kepada benda . Personifikasi dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat seperti contoh berikut,
            Maka sepak raga itu pun berguling-guling hendak mati.
(Hikayat Hang Tuah: 169)
Sepak raga merupakan benda yang tidak bernyawa. Tetapi diberi sifat manusia iaitu hendak mati.

Seterusnya, gaya bahasa simile diguna oleh pengarang dalam karya Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang menimbulkan keindahan dengan membandingkan kedua-dua benda tersebut tetapi mempunyai maksud yang sama. Dalam erti kata lain, simile merupakan perbandingan dan selalunya menggunakan perkataan “seperti”. Contohnya,
            Seperti ular berbelit-belit lakunya.        
 (Hikayat Sejarah Melayu: 175)

            Baginda pun melambung-lambung dirinya seperti ayam disembelih.
(Hikayat Sejarah Melayu: 176)

Kekuatan karya agung dapat kita lihat melalui gaya bahasa hiperbola yang digunakan oleh pengarangnya. Hiperbola bermakna perbandingan yang tidak logik dan melampu. Karya Sulalatus Salatin banyak menggunakan gaya bahasa hiperbola.
“Daripada kebanyakan ra’yat berjalan itu segala hutan belantara pun habis menjadi padang, bumi pun bergetar seperti gempa, gunung-gunung pun bergerak, runtuh kemuncaknya. Maka, segala bukit yang tinggi-tinggi itu pun habis menjadi rata, segala sungai yang besar-besar pun menjadi kering, jadi darat.”
(Sulalatus Salatin: 15)
Kiasan juga sebahagian daripada gaya bahasa yang digunakan untuk mencantikkan lagi jalan cerita dalam karya agung. Masyarakat Melayu selalunya menggunakan gaya bahasa kias untuk menyampaikan sesuatu maksud secara berlapik agar tidak melukakan hati orang yang disebut. Kiasan ini juga bererti bercakap secara tidak terus mengenai perkara yang ingin disampaikan. Dalam karya Hikayat Hang Tuah, pengarangnya telah menyelitkan unsur kiasan sebagai satu unsur yang boleh memberi keindahan dalam penulisannya. Contohnya,
Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Hikayat Hang Tuah: 43)
                       
Pengarang karya agung yang hidup di alam Melayu sudah pasti tidak akan meninggalkan gaya bahasa peribahasa untuk dimasukkan ke dalam penulisan mereka. Masyarakat Melayu sering menggunakan peribahasa agar pertuturan mereka sopan dan sedap didengar. Mereka bercakap berlapik agar orang yang diperkatakan tidak tersinggung. Peribahasa ini dicipta berdasarkan keadaan sekeliling dan terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
“Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang … Rosak bawang ditimpa jambaknya”
(Hikayat Hang Tuah: 356)
Maksud peribahasa di atas ialah jika sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan.  Hal ini bermaksud Hang Jebat sudah melakukan kejahatan hasil daripada tuduhan Hang Tuah. Jadi Hang Jebat menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga akhirnya. Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri.  

c)      Struktur ayat
Karya agung merupakan karya klasik. Format penulisannya juga menggunakan format penulisan klasik. Struktur ayat yang digunakan oleh pengarang dalam penulisan karya agung lebih kepada ayat panjang-panjang, ayat songsang dan ayat yang berulang-ulang. Kita sedia maklum bahawa susunan ayat pada zaman tersebut lebih kompleks jika dibandingkan dengan ayat bahasa Melayu kini.
            Ayat songsang sering digunakan oleh pengarang dalam penulisan karya agung. Susunan ayat songsang mendahulukan predikat kemudian barulah subjek. Ayat songsang ini banyak digunakan kerana pengaruh bahasa Arab dan mungkin mereka menterjemahkan bahasa Arab secara langsung kepada bahasa Melayu. Misalnya dalam karya Hikayat Hang Tuah,
Hatta, berapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang
(Hikayat Hang Tuah: 13)
Subjek bagi ayat di atas ialah ‘nakhoda itu’, manakala predikat bagi ayat di atas ialah ‘pun hampirlah akan sampai ke Palembang’ dan ‘ Hatta, berapa lamanya belayar itu’. Ayat tersebut sepatutnya ditulis ‘Nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang setelah berapa lamanya belayar’.

Penggunaan ayat panjang, berbelit-belit dan berulang-ulang merupakan unsur yang agak unik dan boleh ditambah sebagai unsur keindahan. Pengarang menggunakan ayat yang panjang, berulang dan berbelit untuk menerangkan sesuatu. Ayat jenis ini tidak mempunyai noktah dan hanya dibubuh tanda koma sahaja. Ayat yang paling akhir barulah akan diberi tanda noktah.
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun dari keinderaan.
(Hikayat Hang Tuah: 6)

d)     Jenis Bahasa
Penghasilan karya agung banyak menggunakan jenis bahasa. Hal ini demikian kerana pada zaman tersebut dipengaruhi banyak bahasa asing. Dalam penulisan karya agung, pengarang menghasilkannya dengan percampuran bahasa. Dalam erti kata lain, pengarang bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu bahkan bahasa Arab, bahasa Sanskrit, bahasa Parsi dan sebagainya. Keadaan ini menjadi nilai tambah dalam memperindah penulisan pada karya yang dihasilkan.
Bahasa Arab digunakan oleh penulis zaman dahulu dalam penulisannya. Masyarakat Arab berhijrah untuk menuntut ilmu dan menyebarkan agama Islam di alam Melayu sehinggakan bahasanya boleh mempengaruhi penulisan karya agung Melayu.  Hikayat Hang Tuah turut menerima pengaruh bahasa Arab. Contohnya,
Maka dalam hati Tun Tuah. “Ya rabbi, ya saiyidi, ya maulana, ya Tuhanku, Engkau juga yang terlebih tahu dan amat berkuasa dan Engkau juga yang mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku…”
(Hikayat Hang Tuah: 221)
Pengaruh bahasa Arab jelas terpancar melalui penggunaan perkataan Ya rabbi, Ya Saiyidi, Ya maulana oleh penulis dalam karya yang dihasilkannya.
Karya agung pada zaman dahulu turut menggunakan bahasa Parsi. Penggunaan bahasa Parsi boleh dibuktikan melalui Hikayat Hang Tuah. Contohnya seperti berikut,
Setelah sudah diajarnya, Laksamana pun menuangkan arak lalu diberikannya pada Marga Paksi itu. Adapun arak itu dibihaus.
(Hikayat Hang Tuah: 320)
Berdasarkan petikan di atas, ‘dibihaus’ dikenal pasti sebagai perkataan Parsi. Perkataan ‘dibihaus’ itu dipercayai mempunyai persamaan makna dengan dibius.
Bahasa Jawa boleh ditemui dalam karya agung mungkin disebabkan oleh bahasa tersebut serumpun dengan bahasa Melayu. Tambahan pula, orang Jawa juga hidup di Kepulauan Melayu. Secara logiknya, bahasa yang digunakan saling berkait dengan bahasa yang lain. Pengarang juga boleh diandaikan sudah terbiasa menggunakan bahasa tersebut. Kita dapat lihat penggunaan bahasa Jawa dalam Hikayat Hang Tuah juga.
Maka Rangga pun segera mengunus kerisnya, seraya berkata, “Hai Laksamana, den eling, pakanira, kerana orang mengamuk itu banyak.”
(Hikayat Hang Tuah: 271)
Perkataan den eling merupakan bahasa Jawa yang digunakan oleh pengarang dalam penulisannya. Perkataan den eling bermaksud supaya ingat atau beringat.
Penulisan karya agung turut dipengaruhi bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit digunakan oleh golongan kasta tinggi dalam masyarakat Hindu. Keadaan ini jelas sekali menunjukkan bahawa pada zaman tersebut masyarakat di alam Melayu masih lagi menerima pengaruh Hindu. Contohnya,
“Apatah salahnya yang anakku mengakukan hamba bapa?Adapun yang anakku ini anaklah kepadaku…Apa nama rajadutanya dan upadutanya?”
(Hikayat Hang Tuah: 507)
Pengarang menggunakan perkataan rajaduta dan upaduta.  Perkataan rajaduta membawa maksud ketua dalam sesebuah perwakilan atau lebih dikenali sebagai duta besar, manakala upaduta membawa maksud penolong kepada rajaduta atau duta besar tersebut.  




Nilai Estetika dalam Karya Agung Melayu




Catatan Kamus Dewan Edisi Keempat, estetika bererti cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Jika kita memetik kata-kata Rahman Shaari (2001), “estetika bermaksud nilai keindahan dalam karya sastera yang berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya” Menurut beliau lagi, bagi sesebuah karya sastera aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Van Mater Ames dalam bukunya Colliers Encyclopedia Volume 1 menyatakan bahawa estetika sebahagian daripada telaah yang berkaitan dengan penciptaan, apresiasi dan kritikan terhadap karya seni dalam konteks berkaitan seni dengan kegiatan manusia serta peranan seni dalam perubahan dunia. V.I Braginsky (1994:16) menyatakan bahawa keindahan atau indah merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Beliau turut merumuskan tiga aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera dengan penggantian perkataan indah dengan perkataan yang seerti. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang dan mempunyai kuasa penyembuh, namun perkara yang lebih mustahak sekali iaitu kesan keindahan dan manfaat yang terkandung dalamnya.

Nilai estetika yang terselit dalam penulisan karya agung Melayu lebih kepada nilai keindahan. Nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam karya agung Melayu melahirkan keseronokan, manfaat dan penikmatan karya sastera kepada pembaca.

a)      Pemikiran pengarang
Dalam penghasilan karya-karya agung, pengarang cuba memperlihatkan beberapa pemikirannya sendiri untuk membina jalan cerita yang menarik. Pengarang telah mewujudkan watak-watak dalam penulisannya. Watak yang dilahirkan sama ada antagonis atau protagonis dapat memberi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya agung. Watak-watak yang ditampilkan oleh pengarang dapat menghidupkan jalan cerita dalam penulisannya melalui perwatakan.
Setiap watak menjalankan fungsi mereka tertentu berdasarkan idea yang telah ditulis oleh pengarang dalam karyanya. Misalnya, pengarang telah mewujudkan idea melalui imej-imej plastis atau pengarang menggambarkan watak dan jalan cerita tersebut benar-benar terjadi. Secara tidak langsung, keadaan ini boleh membentuk akal pembaca dan pendengar.
Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah dijadikan sebagai watak utama oleh pengarang. Sebagaimana yang telah kita ketahui, Hang Tuah merupakan tokoh pahlawan Melayu yang unggul. Hikayat Hang Tuah memperlihatkan kebesaran raja Melaka, kelebihan kerajaan Melayu Melaka dan ketokohan pahlawan Melaka. Menurut idea yang dilahirkan oleh penulis, Melaka sangatlah maju, berkembang dan berpengaruh pada zaman tersebut. Buktinya, pengaruh raja Melaka meluas di Tanah Jawa dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara China.
Penulis cuba menyampaikan idea atau pemikiran setia kepada raja dan tanah air melalui watak utama, Hang Tuah. Hang Tuah yang sangat cinta pada tanah air telah mengabdikan dirinya untuk raja dan negara sehinggakan beliau sanggup membunuh sahabatnya sendiri. Beliau turut berjuang untuk mempertahankan Melaka daripada dicerobohi oleh kuasa asing seperti Melaka.
Dalam aspek ini, pengarang cuba menekankan pemikirannya mengenai semangat cinta pada raja dan tanah air. Pemikiran tersebut sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca agar menanamkan semangat patriotik yang kian memudar dalam diri generasi muda kini. Pembaca haruslah mengambil teladan daripada pemikiran yang dicerna oleh pengarang sebagai panduan untuk keharmonian tanah air.

b)      Nilai
Penulisan karya agung Melayu dihiasi dengan nilai-nilai yang diwujudkan oleh pengarang. Di sebalik nilai keindahan dalaman karya agung terdapat nilai-nilai lain yang diungkapkan oleh pengarang secara tersirat. Nilai-nilai tersebut sangat tinggi dan perlu diteliti oleh pembaca untuk mendapatkan maknanya. Dalam erti kata lain, nilai boleh dianggap sebagai tindakan yang bagus haruslah dijadikan contoh dan teladan.
Nilai keislaman turut disentuh dalam kebanyakan karya agung oleh pengarang. Unsur keislaman ini selalunya dapat dilihat pada bahagian permulaan karya agung. Di samping itu, pengarang turut menonjolkan kedatangan Islam dan kemunculan para ulama atau tokoh Islam. Pengarang memperlihatkan nilai keislaman ini dalam karya agung Bustan al-Katibin
Al-hamdulillahi ladzhi akhraja bi’ibadi mina ‘l-jahili wa’ z-zalami, wa’ s-solatu wa ‘salamu ‘ala Sayyidina Muhammadan fasha ‘l-lughata wa ‘l-kalama, wa ‘ala alihi wa asha bihi hum ahli ‘l-fadli wa ‘l-akram. Ertinya, segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengeluarkan akan hamba-Nya (daripada) bodoh dan gelap; dan rahmat serta salam-Nya atas penghulu kami Nabi Muhammad yang terlebih fasih daripada segala bahasa dan terlebih fasih daripada segala perkataan; dan atas keluarganya dan segala sahabatnya iaitu segala mereka itu yang ahli kelebihan dan kemuliaan.

                                                                                              (Bustan al-Katibin)

Pembuka bicara surat yang ditulis oleh Raja Tulela Syah menggunakan nama Allah Ta’ala jelas menunjukkan bahawa pengarang telah menyelitkan unsur keislaman dalam karya tersebut. Unsur keislaman telah memberi keindahan dalaman kepada karya Hikayat Inderaputera tersebut.
Kebudayaan Melayu turut menjadi unsur keindahan dalaman yang ditimbulkan oleh pengarang dalam sesebuah karya. Kebudayaan Melayu tidak boleh lari daripada penulisan pengarang kerana kerajaan yang membangun pada ketika itu dalam lingkungan Alam Melayu. Kebudayaan Melayu yang ditimbulkan bukan sahaja memaparkan aspek kemanusiaan, kemasyarakatan, sejarah bahkan kebudayaan tersebut dapat menyingkap perihal batin, hati, akal dan budi. Kebudayaan Melayu bukan sahaja diamalkan oleh orang Melayu bahkan mereka yang datang ke alam Melayu turut mengamalkan kebudayaan tersebut.
“Adat istiadat diraja yang disusun oleh Sultan Muhammad Syah mengandungi larangan kekuningan, hak memakai perhiasan emas, cara pemakaian ketika menghadap raja, payung kuning untuk anak raja, tatacara menjunjung duli, peraturan perarakan bergajah menghantar dan menerima surat dan utusan, adat mengurniakan gelaran…”
   (Sejarah Melayu:56-61)
Terdapat pelbagai adat istiadat dalam Sejarah Melayu yang telah berjaya memberi nilai estetika kepada karya tersebut. Pengarang begitu bijak dalam menonjolkan kehidupan Melayu dalam karyanya. Pengarang berjaya menghidupkan perjuangan dalam mempertahankan budaya Melayu sehinggakan suasana tersebut dapat digambarkan oleh pembaca sehingga memberi unsur keindahan.

c)      Spiritual
Nilai spiritual yang dibawa oleh pengarang umpama perisa yang memberi rasa keindahan kepada karyanya. Nilai spiritual merupakan segala hal yang berkaitan dengan rohani, jiwa dan semestinya bukan bersifat fizikal. Jiwa dan rohani manusia yang tersirat tidak dapat dilihat dengan mata kasar.  Apabila kita membaca episode dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat unsur-unsur perspektif spiritual. Cara pengarang menyampaikan unsur spiritual ini melalui watak Hang Jebat apabila retaknya nilai persahabatan beliau dengan Hang Tuah.
             “Hai Si Jebat derhaka! Sungguh kau berani tidak melawan! Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang” Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana, maka dibuaknya peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana terdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Tuah pun berdebar-debar hatinya.
(Hikayat Hang Tuah: 338)
Pengarang telah membina satu jalan cerita yang memberi konflik antara watak utama iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Konflik wujud apabila Hang Jebat menderhaka kepada Raja dan ingin membalas dendam terhadap kematian Hang Tuah sedangkan Hang Tuah disembunyikan oleh bendahara Melaka. Hang Tuah yang sangat taat kepada Raja sanggup beradu kekuatan dengan Hang Jebat. Hang Tuah sanggup mengetepikan persahabatan yang dibina sejak kecil untuk menjaga kedaulatan tanah air tercinta. Kita dapat lihat dua unsur spiritual yang ditonjolkan oleh pengarang pada waktu yang sama iaitu semangat setia kawan dan semangat cinta pada Raja dan tanah air.

d)     Unsur humor
Unsur humor salah satu unsur yang sangat unik. Humor bermaksud perbuatan yang melucukan. Unsur ini mungkin ditimbulkan oleh pengarang secara tidak sengaja. Kemungkinan pada asalnya pengarang cuba menyampaikan sesuatu cerita itu untuk memberi maklumat atau gambaran sahaja tetapi apabila dibaca oleh pembaca menimbulkan kelucuan pula.
Unsur humor ini sering kali digandingkan bersama wit. Unsur wit berkaitan dengan akal, budi, fikiran dan kecerdasan otak dalam melakukan sesuatu perkara. Unsur humor ini boleh kita lihat dalam karya Tun Seri Lanang iaitu Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang sangat bijak dalam mencorakkan jalan cerita dengan mewujudkan unsur-unsur yang boleh menghiburkan pembaca.
“Tun Pepatih Putih menghadap Negara China. Ia makan kangkung pada masa mengangkat kangkung itu ke atas ia dapat melihat raja China dengan nyatanya”
        (Sejarah Melayu: 95)
Ada seorang keeling, Miaruzu namanya, ikut askar Melaka melanggar Haru. Ketika ia hendak buang air, bertemu dengan seekor kambing randuk, kerana takut, ia menyangka kambing itu askar Haru, ia lari tunggang-langgang. Perbuatan ini menggemparkan askar-askar Melaka, Miaruzul memberitahu:
“Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia Zughul, kita zughul ia hudap”. Tetapi bila disiasat ternyatalah hanya seekot kambing randuk. Peristiwa itu melucukan lalu dibuat pantun mellaui kata-kata Miaruzul itu.
(Sejarah Melayu)

Unsur humor ini memperindahkan lagi jalan cerita dalam sesebuah karya agung. Ia memberi sedikit sebanyak hiburan berbentuk lucu kepada pembaca. Teknik penceritaan berunsur humor ini berjaya memberi estetika kepada karya agung yang ditulis tersebut.




Tuesday 2 December 2014

Contoh buku yang boleh dijadikan sumber rujukan.



Buku-buku ini boleh dijadikan sumber rujukan mengenai Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin.







Nilai - nilai Ilmu dan Maklumat

Terdapat pelbagai jenis ilmu yang diperolehi melalui karya agung Melayu. antaranya ialah, ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi, ilmu pengasih, dan sebagainya.  Begitu juga dengan strata sosial masyarakat Melayu yang diamalkan ketika zaman pemerintahan federal dan adat istiadat yang diamalkan secara turun temurun.

1. Ilmu Firasat
 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat bermaksud pengetahuan mengenai tanda – tanda pada badan untuk mengetahui nasib orang. Umumnya ilmu firasat lebih kepada tilikan atau ramalan terhadap sesuatu perkara. Melalui ilmu firasat, ahli nujum mempercayai bahawa mereka mampu mengetahui kelemahan  atau kekuatan orang lain berdasarkan nama. Lazimnya, ilmu firasat terbahagi kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.

  •  Firasat tilik nasib

Firasat tilik nasib dalam Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut mengenai serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan – pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa – gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya tidak akan terlepas daripada tangannya.

Di mana kamu semua orang muda – muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira – kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu: 74)

  •    Firasat mimpi

Dalam Fasal 13, Bab II Bustan al – Salatin, unsur mimpi dikemukakan di mana Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Dalam mimpinya itu, turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi yang dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua – dua pasangan muda tersebut. Esoknya, Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al – Adil (Bustan al – Salatin: 18).

  •     Firasat terhadap binatang

Ilmu ini diamalkan dalam Hikayat Raja Pasai. Anjing – anjing diberikan penghormata pada ketika itu. Dalam Hikayat Raja Pasai, anjing perburuan Merah Sulu dikaitkan dengan penemuan negeri Pasai. Anjing perburuan itu telah menyalak tanpa henti di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Merah Sulu kemudian menjadikan tempat tersebut sebagai sebuah negeri dan menamakan negeri itu sempena nama anjing itu (Hikayat Inderaputera: 13).


2. Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat dengan kaedah tradisional. Kebiasaanya, dukun ini mengubat dengan cara membaca jampi serapah. Manakala perdukunan membawa maksud pengubatan cara kampung atau tradisional.
            Pada permulannya, kepercayaan masyarakat Melayu berbentuk animisme, iaitu menganggap benda – benda lain seperti batu, sungai, dan bukit mempunyai semangat ghaib. Mengikut kepercayaan animisme, kuasa ghaib hanya boleh dihubungi pawang, dukun, dan bomoh kerana dipercayai mereka memiliki magis.

3. Ilmu Jampi
 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), membawa maksud kata –kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Mana Sikana (1996) berpendapat bahawa jampi serapah digunakan untuk melahirkan perasaan dan berhubung kait dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dibaca untuk memberi kesaktian dalam perubatan. Pawang yang membaca jampi dianggap mempunyai kesaktian dan bersifat luar biasa sebagai perantaraan antara manusia dan makhluk halus.
            Menurut Harun Mat piah (1989) pula menyatakan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk prosa atau puisi yang mengandungi tujuan dan konotasi magis pengubatan dan perbomohan.
            Menariknya mengenai jampi ialah penyampaiannya dalam bahasa Banjar dan boleh diwarisi oleh orang tertentu sahaja. Mana Sikana (1996) menyatakan lagi bahawa jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan (jampi jenis larangan), jampi tawar biasa (jampi jenis perubatan) dan jampi pendinding (jampi jenis larangan).

  •         Jampi menolak syaitan

Jampi ini digunakan untuk menghalau jin dan mengubat penyakit yang berkaitan dengan penyakit halus. Cara menggunakan jampi bermula dengan individu itu perlu memandang tegak kehadapan kemudian membaca jampi. Selepas jampi dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali berturut.

  •       Jampi tawar biasa

Jampi tawar bisa ini digunakan untuk merawat kesakitan serius seperti patukan ular berbisa yang boleh membawa maut dan kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini mempunyai dua kaedah penggunaannya. Kaedah yang pertama ialah menjampi terus dengan meniup pada bahagian yang sakit selepas pembacaan jampi. Kesan tiupan jampi tesebut dipercayai mampu mencabut bisa yang ditanggung pesakit.
Kaedah yang kedua ialah membaca jampi ke dalam air. Selepas air tersebut dijampi, air tersebut hendaklah diminum, digunakan untuk mandi atau disapukan ke kepala. Pantang larang air yang telah dijampi ini ialah tidak boleh dilangkah oleh kucing. Air tersebut tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk dan perlu disimpan di tempat yang tinggi. Sebaik – baiknya air yang digunakan ialah air hujan yang ditadah dan turun daripada langit serta tidaj tersangkut di mana – mana.

  •   Jampi pendinding

Jampi jenis sangat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu. Jampi ini dipelajari dan diamalkan sebagai alat pengebal atau untuk mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang. Cara penggunaan jampi ini ialah dengan meminum air yang telah dijampi atau menulis jampi tersebut di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Pantang larang azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat.


4. Ilmu Pengasih
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengasih ditakrifkan sebagai ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, dan guna – guna yang boleh membangkitkan rasa kasih. Umumnya, ilmu pengasih ini digunakan untuk menarik minat orang disukai oleh individu terbabit. Kemungkinan orang yang disukainya itu jual mahal ataupun tidak menaruh perasaan suka terhadapnya menyebabkan dia terpaksa menggunakan ilmu pengasih. Cara yang sering digunakan adalah dengan mencalitkan minyak kepada seseorang yang disukainya atau dengan cara menjampi gambar.
            Harun Daud (2001), berpendapat ilmu pengasih berkait rapat dengan unsur alam seperti bintang, bulan dan matahari. Unsur – unsur ini digunakan sebagai kiasan kepada anggota pengamal agar kelihatan cantik.
            Tuntasnya, ilmu pengasih ini sering digunakan untuk memikat orang yang disukai individu terbabit. Apabila orang yang disukainya tidak member tindak balas yang positif, ini memaksa individu terbabit menggunakan cara halus walaupun bertentangan dengan agama.

5. Strata Sosial Masyarakat Melayu
Menurut Kamus Dewan (2010), strata boleh didefinisikan sebagai tingkat duduk atau peringkat taraf dalam susunan atau hierarki tertentu. Strata juga dikenali sebagai stratifikasi iaitu pengkelasan masyarakat kepada beberapa lapisan kelas yang berbeza.
            J.M. Gullick (1970), pula berpendapat stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Sejarah Melayu. Masyarakat Melayu tradisional dikelaskan kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Kedua – dua golongan ini terbahagi kepada beberapa kelompok kecil mengikut taraf, kedudukan, dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat. Namun, kecenderungan terhadap pemerintah boleh dilihat dari segi politik, undang – undang, ketenteraan, ekonomi, dan adat istiadat. Golongan pemerintah dalam masyarakat Melayu tradisional terbahagi kepada dua iaitu golongan diraja dan golongan bangsawan. Manakala golongan  yang diperintah

  •  Golongan Pemerintah

Golongan diraja dalam masyarakat Melayu tradisional terdiri daripada raja atau sultan atau Yang Dipertuan. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005: 38 – 39), berpendapat raja mempunyai kuasa autoriti menduduki tempat teratas dalam strata sosial masyarakat Melayu. Raja berperanan sebagai pemimpin dalam hal peperangan, mengadakan hubungan diplomatik dengan negara luar, dan lambang kedaulatan dan kebesaran negeri.
Golongan diraja dan kerabat diraja menduduki susun lapis yang teratas. Dengan mengambil contoh di Melaka, semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al – Salatin: 65). Seorang raja dipercayai mempunyai kebijaksanaan dan keistimewaan tertentu sebagai raja yang berdaulat.

Sebermula berapa lamanya Sultan Mahmud Syah di atas kerajaan maka terlalulah ‘adil baginda pada memeliharakan segala ra’yat.
(Sulalatus Salatin: 65).

Keluarga dan kerabat diraja mempunyai jurai keturunan raja yang memerintah pada ketika itu dan mempunyai kedudukan istimewa. Mereka diberi jawatan penting seperti bendahara dan temenggung. Jumlah golongan ini agak ramai kerana amalan poligami, malah tidak semua anak raja diberikan jawatan dalam politik (Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2005:79)

“Bahawa sudahlah hamba kawinkan anak raja Kida Hindi dengan yang bernama Tuan Puteri Syahr al – Bariyah itu dengan Raja Iskandar, isi kawinnya tiga ratus ribu dinar emas. Redhakah tuan hamba?”
 (Sulalatu Salatin; 6)
           
Golongan bangsawan menduduki tangga kedua dalam strata sosial masyarakat Melayu. Golongan ini tergolong daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu, Bendahari, Perdana Menteri, Bentara, dan Syahbandar (Sulalatus Salatin; 161). Lazimnya, golongan pembesar dan pentadbir berperanan sebagai penasihat raja ataupun pembesar daerah. Raja membenarkan pembesar daerah berkuasa penuh terhadap daerah – daerah tertentu. Pembesar yang dipilih kebiasaannya diambil dari satu keturunan yang mempunyai hubungan yang lama dengan daerah itu. Pembesar mempunyai autoriti seperti raja untuk mengerah rakyat menjalankan kerja – kerja seperti membina jalan, parit, tali air dan berkhidmat sebagai tentera (Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2005; 38 – 41/79).
Namun, terdapat juga golongan pendatang diakui sebagai golongan bangsawan. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada tuan – tuan sayid, makhdum, maulana dan kadi. Mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan raja. 
Golongan ulama dan pendeta merupakan golongan intelek dan alim ulama yang pakar dalam hal ehwal agama Islam. Mereka berketurunan Arab – Melayu. Permulaanya, mereka mengajar asas agama Islam. Setelah agama Islam berkembang pesat, mereka mula mengajar ilmu dalam bidang tasawuf, tafsir, dan hadis. Sultan melantik golongan ini menjadi guru, ketua agama, kadi, dan bertugas menasihati Sultan dalam bidang hukum syarak. Pendeta pula memiliki kepakaran dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja serta menjadi perawi Sultan. Sultan dan golongan istana menjadikan mereka ini sebagai rujukan. Sultan sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan pendatang seperti tuan – tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Buktinya, Sultan Melaka terpaksa tunduk hormat terhadap golongan ini. seorang Kadi Yusof enggan membenarkan Sultan Mahmud Syah menghadap dengan menaiki gajah.

“Beritahu Maulana Yusuf, Yang Dipertuan, Sultan Mahmud Syah, dating.” Maka diberi orang tahu Maulana Yusuf. Maka kata Maulana Yusuf, “Tutup pintu. Apa kerja Sultan Mahmud Syah dating ke rumah fakir?”
(Sulalatus Salatin; 161)

  • Golongan diperintah

Lapisan pertama dalam golongan diperintah ialah rakyat biasa yang juga merupakan golongan terbesar dalam masyarakat Melayu. Peranan utama rakyat ialah menyokong dan patuh kepada institusi raja dan pembesar. Mereka hendaklah bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan tradisi. Majoriti rakyat biasa ini ialah orang Melayu dan selebihnya ialah orang asing dan orang laut yang terlibat dalam kegiatan ekonomi sebagai pedagang., peniaga, pedagang – mubaligh dan senteri yang menyebarkan agama Islam. Rakyat biasa menduduki tangga ketiga dalam hierarki masyarakat Melayu iaitu di bawah bangsawan. Mereka merupakan rakyat biasa yang merdeka dan terdiri daripada pedagang, tukang – tukang mahir, petani dan juga saudagar. Terdapat juga saudagar yang mempunyai hubungan rapat dengan golongan atasan, misalnya Raja Mendeliar, Nana Surana Dewana, dan Kitul. Kitul dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang dengan raja tersebut. Walau bagaimanapun, Kitul telah membuat fitnah dengan mengatakan Nina Sura Dewana pergi berjumpa dengan Bendahara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendelair menghapuskan hutang Kitul (Sulalat al – Salatin: 204). Orang kaya pula merupakan golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini membantu golongan peniaga melariskan hasil jualan.
Golongan hamba merupakan golongan yang paling bawah dala strata sosial masyarakat Melayu. hamba ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu hamba raja, hamba abdi dan hamba hutang. Hamba raja terdiri daripada orang yang merdeka yang telah melakukan jenayah dan mendapat keampunan daripada Sultan dan berjanji akan menjadi hamba turun temurun. Golongan ini juga terdiri daripada tawanan perang. Mereka digelar biduanda dan taraf mereka lebih tinggi daripada hamba abdi dan hamba hutang.
Hamba abdi pula biasanya terdiri daripada orang berbangsa Afrika, orang Asli dan orang Batak yang bukan Islam. Boleh juga terdiri daripada tawanan perang, lanun, pesalah jenayah berat, dan sukarela atas alasan untuk mencari tempat bergantung.  Hamba jenis ini boleh dimiliki secara mutlak dan boleh dijual beli. Peluang untuk mereka merdeka sangat tipis melainkan diberikan kebebasan oleh tuannya. Mereka juga idak mendapat pengiktirafan dalam masyarakat.
Hamba berhutang pula orang yang berhutang tetapi gagal melangsaikan hutangnya. Bagi melunaskan hutang, mereka berkhidmat dengan pemiutang sehingga hutang langsai. Setelah hutang langsai, mereka kembali merdeka dan masih diakui sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuannya. Beza antara hamba berhutang dengan hamba abdi ialah, hamba berhutang tidak boleh dijual beli dan taraf mereka lebih tinggi daripada hamba abdi.




6. Adat dan Istiadat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan dari nenek moyang lagi sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Masyarakat Melayu mula mengkhususkan maksud adat dengan merujuk kepada upacara tradisional dan undang – undang adat. Istiadat pula merujuk kepada peraturan atau cara – cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Ringkasnya, adat istiadat membawa maksud pelbagai iaitu adat dan upacara termasuk perlaksanaannya.
            Dalam Sulalat al – Salatin, terdapat dua jenis adat iaitu adat yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang – undang dan larangan diraja. Undang – undang yang disenaraikan dalam Sulalat al – Salatin ialah derhaka, menggunakan hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa, tidak mengadap raja pada hari – hari tertentu, biadap kepada raja atau wakil, mencuri, membuat fitnah dan mengambil isteri orang.

 Adat yang melibatkan hukuman
  •              Derhaka

Penderhaka boleh dikenakan hukuman bunuh oleh raja. Orang pertama yang menerima hukuman bunuh ialah Tun Jana Khatib yang dianggap sebagai penderhaka kerana disyaki oleh Paduka Seri Maharaja cuba menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaan membelah pohon pinang melalui tilikan mata (Sulalat al – Salatin: 55).

  •   Menggunakan hak raja tanpa izin

Hang Tuah menggunakan hak raja, iaitu gundik Sultan Mansur Syah. Walaupun banyak berjasa kepada raja, itu tidak menjamin Hang Tuah terselamat daripada hukuman bunuh (Salalat al – Salatin: 97).

  • Merampas kuasa

Undang – undang ini tidak membenarkan rakyat atau pembesar merampas kuasa daripada raja. Hal ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja setelah mendapat aduan bahawa Bendahara merancang untuk merampas kuasa (Sulalat al – Salatin: 205).

  • Tidak mengadap raja pada hari – hari tertentu

Pesalah boleh dijatuhi hukuman bunuh sekiranya tidak memberikan sebab yang munasabah. Hal ini terjadi semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, yang memerintahkan hukuman bunuh ke atas Seri Baja kerana tidak mengadap baginda pada hari raya. (Sulalat al – Salatin: 153).

  • Tidak menghormati wakil raja

Seseorang tidak menghormati raja akan dihukum bunuh kerana dianggap ingin menunjukkan kuasa. Ternyata undang – undang ini diaplikasikan apabila Laksamana bertindak membunuh Tun Perpati Hitam kerana menguis tikar ketika perbicaraannya sedang dilangsungkan di hadapan Bendahara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya (Sulalat al – Salatin: 172).

  • Membuat fitnah

Penyampai fitnah juga dihukum bunuh, di mana Raja Mendeliar telah bertindak memfitnah Bendahara Seri Maharaja dan telah dijatuhkan hukuman bunuh (Sulalat al – Salatin: 207).

  •   Mengambil isteri orang

Sesiapa yang melanggar hukuman ini tidak kira golongan pembesar ataupun sultan boleh dikenankan hukuman bunuh. Sultan Mahmud Syah telah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid. Sekiranya Tun Biajid tidak berpegang pada konsep pantang Melayu menderhaka, sudah pasti Sultan Mahmud Syah sudah dibunuhnya (Sulalat al – Salatin: 157).

Adat yang tidak melibatkan hukuman
i.        Peraturan negeri
Adat ini berkaitan dengan negeri kalah raja mati, perlantikkan pengganti seorang raja, mengadap atau menjunjung duli dan aturan pengurniaan gelaran.

  • Istiadat

Istiadat meliputi pelbagai upacara yang dijalankan oleh sekelompok manusia. Adat istiadat termasuklah istiadat perkahwinan, melenggang perut, melahirkan anak, bertindik atau berkhatan, kematian, dan pertabalan raja.