Wednesday 26 November 2014

SENI RETORIK DAN GAYA BAHASA DALAM KARYA AGUNG (HIKAYAT HANG TUAH)

Retorik ialah seni penggunaan bahasa yang mampu menarik, memaklumkan, memujuk dan mempengaruhi pemikiran pembaca atau pendengar mengenai sesuatu perkara. Retorik ialah seni penggunaan bahasa yang melibatkan bagaimana idea disampaikan sehingga mampu meyakinkan orang yang mendengar mahupun membaca.

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-3, retorik didefinisikan sebagai kajian tentang teknik penyampaian bahasa secara berkesan baik dalam penulisan atau pertuturan. Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 ini juga, retorik ialah salah satu seni yang menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar, iaitu suatu seni yang menggunakan bahasa lisan atau cara untuk berkomunikasi. Situasi ini disebut, seni berpidato, bahasa yang dibuat-buat atau dibesar-besarkan.

Menurut Dr. Abu Hassan pula dan Mohd Rashid Md. Idris, menyatakan bahawa retorik sebagai satu gaya seni penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitaran. Retorik juga dikatakan sebagai keindahan seni lisan dan penulisan serta merupakan suatu seni propaganda yang digunakan oleh seseorang individu bagi tujuan memujuk. Retorik juga dianggap sebagai seni propaganda yang sering digunakan oleh ahli-ahli politik dan banyak digunakan dalam penulisan surat khabar yang berupa iklan untuk tujuan memujuk atau mempengaruhi pembaca.

Menurut Goay Teck Chong pula, retorik dapat diertikan sebagai seni pemakaian bahasa untuk menyampaikan idea dengan menarik dan berkesan dalam sesuatu wacana baik dalam bentuk ucapan mahupun tulisan.

Retorik (dalam bahasa Greek ialah pemidato atau guru) merupakan seni atau teknik memujuk melalui bahan bahasa lisan, visual atau tulisan. Definisi retorik ini semakin diperluaskan apabila bidang kajian mengenai retorik ini diadakan di Universiti. Retorik klasik diajar dalam sastera liberal asal dan tergolong dalam trivium.

Semasa zaman purba dan pertengahan, kajian tatabahasa menekankan penggunaan bahasa yang betul, tepat , berkesan dan memuaskan. Penekanan ini khasnya dalam pengkajian dan kritikan karya sastera. Logik pula menekankan ujian dan penciptaan ilmu baru melalui proses soal dan jawab.

Retorik pula menekankan kaedah memujuk di tempat awam dan politik. Retorik ini banyak digunakan dalam masyarakat. Sebagai contoh, semasa mengemukan soalan atau pandangan yang memerlukan sokongan pendengar, ketika cuba menegakkan kebenaran dan sebagainya.

Konsep retorik telah diperluaskan dalam banyak bidang. Sebagai contoh, dalam bidang undang-undang, hubungan awam, perniagaan, pemasaran dan pengiklanan. Bukan itu sahaja, konsep retorik juga telah menular dalam bidang agama, kaunseling, sejarah, kesusasteraan dan kewartawanan.

Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’. Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara atau ragam. Secara manusiawinya, gaya ini merujuk kepada cara seseorang itu berpakaian, berkomunikasi, tingkah lakunya dan pelbagai lagi.

Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan seseorang individu. Gaya bahasa membawa maksud cara atau ragam sesuatu bahasa itu digunakan khasnya dalam penulisan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, semasa penulisan dilakukan, pembaca tidak dapat melihat cara atau tindakan penulis ketika melaksanakan aktiviti ini.

Penggunaan bahasa begitu luas dari semasa ke semasa terutamanya dalam bidang komunikasi. Keadaan berkomunikasi boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan. Komunikasi lisan merupakan komunikasi yang berlaku secara terus. Komunikasi lisan ini boleh berlaku melalui perbualan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Komunikasi tidak lisan pula boleh berlaku secara penulisan. Ini bermaksud, penulis menggunakan komunikasi tidak lisan ini apabila menulis. Semasa menghasilkan karya, penulis kebiasaannya akan menggunakan gaya bahasa yang berbeza meskipun topik dan perbincangan yang sama. Ini bermaksud semasa menggunakan retorik, penulis harus mempunyai pandangan yang sama mengenai sesuatu isu itu.

Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya  bahasa yang memiliki kesenian. Ini kerana bidang sastera kebiasaannya banyak menggunakan unsur bahasa yang mendalam sehingga tidak mampu tercapai akal dan fikiran kita. Selain itu, kesusasteraan juga mengandungi nilai estetik yang dapat menyebabkan para pembacanya merasa atau menikmati sesuatu keadaan seperti yang tertulis.

Penggunaan nilai estetik ini menyebabkan sesuatu penulisan itu mempunyai nilainya sendiri. Terdapat banyak jenis gaya bahasa dalam kesusasteraan. Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola dan peribahasa. Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati terdapat penggunaan keempat-empat gaya bahasa ini.

Bahasa retorik terbahagi kepada dua iaitu majaz dan skema.

A.    Majaz
Majaz bermaksud kiasan atau bukan yang sebenarnya. Mengikut kefahaman dalam Bahasa Melayu, majaz ini bermaksud memindahkan perkataan hakiki dan dapat difahami dengan adanya petunjuk.
Perkataan majaz ini diambil daripada perkataan arab iaitu Majazi Ar. Majaz ini dilaksanakan menggunakan dua bentuk strategi iaitu majaz yang difahami dengan akal dan majaz yang difahami dengan lafaz atau pengucapan. Perkataan majaz juga disebut sebagai suatu gaya seni penulisan retorik yang dinyatakan dalam bentuk yang tersirat atau terselindung.
Ini bermakna majaz ialah suatu bentuk gaya penulisan yang menggunakan maksud yang berlainan dengan perkataan asal. Tujuannya ialah supaya menghasilkan suatu gaya penulisan yang kreatif dan unik. Majaz terbahagi kepada lima kategori iaitu, majaz pertauta, majaz perbandingan, majaz ragaman, majaz pertentangan dan majaz Melayu.

B.    Skema
Menurut Kamus Dewan, skema ini didefinisikan sebagai rajah yang perlu diikuti, rancangan atau garis-garis yang teratur. Skema dibahagikan kepada lima kategori:

1.  Skema seimbang
      
Merujuk kepada perubahan bentuk atau susunan sesuatu perkataan secara seimbang sehingga menghasikan kesan makna yang berbeza. Terdapat tiga strategi dalam skema ini iaitu paralelisme, antithesis dan isokolon.

2.    Skema perulangan

Pengulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, bunyi yang puitis, berirama dan nada. Skema jenis in mempunyai 10 jenis iaitu anafora, klimaks, aliterasi, asonansi, epistrop, anadiplosis, poliptoton dan epanelepsis.

3.    Skema pengguguran

Pengguguran dilakukan pada kata hubung atau tanda mekanis. Penggunaan kata hubung yang melebihi kebiasaan bertujuan memberikan kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa.

4.    Skema ragaman

Skema ini merupakan teknik memanipulasi kata atau frasa yang pelbagai. Sebagai contoh dari segi teknik, penyusunan ayat serta kesannya. Terdapat lima jenis skema ragaman iaitu umum-khusus, khusus-umum, abstrak-konkrit, konkrit-abstrak dan enumerasi.

5.    Skema hiberpaton

Skema ini menyatakan diksi atau frasa penting terlebih dahulu sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut.

Dalam retorik terdapat beerapa jenis retorik iaitu retorik forensik atau perundangan, retorik deliberatif dan retorik demonstratif.

1.    Retorik forensik

 Retorik ini digunakan dalam perundangan. Retorik forensik ini merupakan satu teknik pemujukan yang bertujuan untuk membela atau mendakwa. Retorik ini biasanya digunakan ketika di dalam mahkamah iaitu ketika menjalankan forsiding penghakiman. Retorik ini juga digunakan oleh peguam sebagai retor untuk menuntut keadilan di depan khalayak juri agar mahkamah berpihak kepadanya.

2.    Retorik deliberatif

Retorik jenis ini mempunyai kaitan dengan perhimpunan popular atau politik. Sebagai contoh, dalam retorik ini, retor akan mencuba sedaya upaya untuk setuju atau membangkang dasar kerajaan atau pemerintah. Aristotle ada menyatakan bahawa hakim yang akan menentukan masa depan.

3.    Retorik demonstratif
      
Retorik jenis ini wujud semasa majlis umum atau upacara ritual yang menunjukkan pemujaan dewa-dewi atau tokoh manusia. Pada awalnya, retorik jenis ini digunakan dalam majlis penganugerahan atau pengebumian. Dalam retorik ini, retor menerusi pengucapannya akan memuji atau mengutuk perasaan khayalak. Secara tidak langsung keadaan ini akan dapat mempengaruhi pendengar tanpa bertujuan untuk mendesak mereka membuat sebarang keputusan.

Sebagaimana yang telah diketahui, melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, terdapat penggunaan gaya bahasa kiasan, sindiran, dan peribahasa.

1.    Kiasan

  • Peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa kiasan. Bahasa kiasan ini berfungsi untuk menyindir seseorang secara halus dan bersopan. Bukan itu sahaja, bahasa kiasan ini amat sesuai digunakan untuk memberikan nasihat agar perasaan masyarakat yang mendengar tidak tersinggung.
  • Ringkasnya, bahasa kiasan ini digunakan untuk menjaga perasaan masyarakat yang ditujukan. Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan perumpamaan, pepatah malah peribahasa untuk menyindir.
  • Penggunaan bahasa kiasan ini lebih cenderung ditujukan kepada golongan pemerintah sekiranya terdapat kejadian yang berlaku sehingga mengundang perasaan tidak senang masyarakat. Penggunaan bahasa kiasan ini memperlihatkan bahawa masyarakat menghormati golongan pemerintah.
  • Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat juga penggunaan unsur gaya bahasa berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa kiasan dalam Hikayat Hang Tuah ini juga bertujuan untuk menyindir, di samping memberikan nasihat kepada individu yang disindir.
  • Contohnya,
Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai:
……rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 43)


  • Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah tersebut, penulis telah menggunakan bahasa kiasan. Sebagai contoh, penulis telah membandingkan saiz pisang emas dan warna emas untuk menerangkan saiz serta warna ular cintami yang telah ditangkap oleh Hang Tuah di Pulai Biram Dewa.
  • Seperti mana yang kita tahu,  pisang emas bersaiz besar, manakala emas sepuluh mutu membawa maksud bahawa emas tersebut sangat berharga. Oleh itu, penulis cuba menerangkan bahawa warna ular cintami tersebut sangat bersinar seperti emas dan bermutu tinggi.
  • Selain daripada  penulis menggunakan bahasa kiasan untuk tujuan menyindir, penulis juga menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda atau seseorang.
  • Contohnya,
Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja dibandingkan dengan,
… bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, berkilau-kilauan.
( Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 111 )


  • Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja. Penulis mengatakan bahawa wajah Tun Teja sentiasa cantik dan bersinar. Sinaran wajah Tun Teja digambarkan melalui perkataan ‘berkilau-kilauan’.
  • Selain itu, kecantikan Tun Teja dikatakan bagai bulan purnama yang bermaksud, Tun Teja sentiasa kelihatan cantik dan berseri-seri setiap masa.

2.    Sindiran


  • Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan. Sindiran terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran halus, sindirian tajam dan sindiran kasar. Cara bahasa sindiran ini digunakan ialah, bahasa yang diujarkan tersebut sebenarnya mempunyai makna yang bertentangan.
  • Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang banyak mendatangkan masalah dalam sesuatu perkara.
  • Contoh:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
( Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 153 )


  • Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah tersebut, didapati bahasa Hang Tuah telah menunjukkan keberanian beliau untuk membunuh Patih Gajah Mada. 
  • Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, bahkan beliau juga mampu membunuh penghulu yang bernama Majapahit.

3.    Peribahasa


  • Peribahasa merupakan salah satu percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap apabila didengar.
  • Peribahasa ini wujud sejak dahulu kala iaitu semasa zaman nenek moyang kita lagi. Mereka mencipta peribahasa berdasarkan keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
  • Peribahasa ini juga merupakan satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Peribahasa ini mengandungi makna yang tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis. Ini bermakna perkara yang diujarkan oleh mereka adalah tdak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.
  • Dalam Hikayat Hang Tuah, penulis menggunakan peribahasa yang jarang digunakan oleh masyarakat.
  • Contoh:
             Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang, ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.”
             ( Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 356 )


  • Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa ‘sepala-pala jahat kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan. Peribahasa ini jarang digunakan pada masa kini.
  • Maksud peribahasa di atas ialah, apabila kita sudah terlanjur melakukan perbuatan atau sesuatu yang jahat, lebih baik kita terus meneruskannya. Ini bermaksud, jangan alang-alang melakukan perkara yang terlanjur.
  • Ayat ini telah diujarkan kepada hang Jebat kepada Hang Tuah. Hang Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga akhirnya.
  • Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa Hang Jebat menyindir sikap Laksamana Hang Tuah.
  • Peribahasa lain yang terdapat dalam petikan ialah ‘rosak bawang ditimpa jambaknya.’ Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya.
  • Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, situasi yang berlaku antara Hang Jebat dengan Laksamana Hang Tuah adalah kerana diri Laksamana sendiri. Tuah menyatakan bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana sikap atau perkara buruk yang telah dilakukan oleh rakannya sendiri iaitu Jebat.

No comments:

Post a Comment