Thursday 27 November 2014

Tokoh-tokoh dalam Karya Agung


Hamzah Fansuri

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1970) menyatakan bahawa Hamzah Fansuri hidup pada satu jangka masa sebelum pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah Acheh iaitu antara tahun 1588 sehingga 1604. Hamzah Fansuri merupakan nama gelaran yang tercantum di belakang namanya menunjukkan tempat asal beliau, iaitu Fansur. Nama sebenar beliau ialah Syeikh Hamzah Fansuri. Beliau merupakan seorang yang gemar menggembara ke seluruh pelosok dunia seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan Tanah Arab. Hamzah Fansuri pernah menjadi penasihat Sultan Acheh dan banyak membantu sultan dalam urusan pentadbiran negeri. Beliau dikatakan pernah berguru dengan Maulana Ibrahim di Mekah.
Terdapat ulama sufi yang mengatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan seorang penganut Syi’ah yang sesat da nada juga yang berpendapat bahawa beliau mengikut mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah. Pegangan beliau tidak mencampuradukkan ajaran sufi seperti sufi yang lain.
Hamzah Fansuri merupakan pelopor pemuisi Islam. Beliau telah menghasilkan syair sastera Melayu. Syair Melayu yang dihasilkan oleh beliau merupakan masnawi Parsi bukannya syair Arab. Masnawi merupakan hasil pengaruh Arab yang telah diparsikan. Beliau menyesuaikan masnawi Parsi dengan puisi Melayu iaitu, pantun. Puisi yang dihasilakn itu mengandungi kisah-kisah yang berbentuk teladan atau moralistic. Hamzah Fansuri telah membuat pembaharuan dalam penulisan genre syair dan masnawi. Karya-karya beliau masih mempengaruhi karya sastera pada abad ke-20 seperti karya Sanusi Pane.
 Karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah fansuri sentiasa mengandungi kritikan-kritikan sinis dantajam terhadap politik danraja-raja sehingga beliau tidak disenangi oleh golongan istana. Hamzah Fansuri juga mempelopori bidang penulisan puisi-puisi falsafah dan mistik bercorak Islam. Beliau merupakan orang pertama yang melahirkan kitab Ilmiah Bahasa Melayu. Kitab tersebut mempertingkatkan darjat Bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual, penyebaran ilmu dan persuratan.
Hamzah Fansuri turut dikenali sebagai ulama yang mempunyai pengetahuan mendalam bidang tasawuf, fikah, mantik, sastera, sejarah dan falsafah. Beliau juga gemar menulis sastera dalam bentuk puisi dan prosa dan beliau terkenal sebagai penulis sufi. Sastera sufi juga dikenali sebagai sastera mistik dikaitkan dengan sastera tasawuf. Sastera ini mendapat tempat dan makam yang paling tinggi dalam hierarki kesusasteraan Islam. Golongan yang mengamalkan kehidupan sufi iaitu ahli Sufi dan menganut tasawuf diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dalam peribadatan Islam. Syed Naquid al-Attas (1970) menyatakan bahawa sastera sufi merupakan falsafah Islam yang tulen. Falsafah dan pemikiran Islam sendiri mencapai nilai yang tinggi dan luhur dalam sejarah pemikiran dunia.
Antara kitab agama dan tasawuf yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri ialah al-Muntahi dan Syarbul ‘Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin yang mengandungi syariah, hakikat, tarikat dan makrifat. Contoh karyanya yang lain ialah, Syair Sidang faqir dan Syair Perahu. 
Syair-syair yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri menggunakan irama pantun walaupun urutannya mengikut irama syair (R.O Winstedt:1939). Hamzah Fansuri merupakan orang pertama yang memperkenalkan skema akhir a-a-a-a dalam puisi empat baris sebagai pengucapan sastera. Menurut C. Hookays (1981) pula, kebanyakan syair Hamzah Fansuri gemar menggunakan perkataan Arab kerana beliau mengajak para pembaca kea rah membentuk pekerti mulia.
Sastera keagamaan boleh dibahagikan kepada beberapa cabang. Pertama ilmu kalam yang menyentuh mengenai ilmu usul iaitu ubat untuk kaum kafir. Kedua, ilmu fikah pula makanan kepada mukmin dalam hidupnya. Ketiga, ilmu tasawuf yang mempunyai unsur rohaniah dan mampu mencernakan makanan serta ubat. Dalam ilmu tasawuf, ajaran pokoknya merupakan keinginan manusia melihat wajah Tuhan dan bersatu dengannya.
Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumaterani mewakili ilmu tasawuf yang bersifat heterodoks yang bermaksud bahawa Tuhan dan manusia sama sahaja. Ilmu tasawuf heterodoks ini dikatakan sesat kerana tafsiran yang dapat kita buat ialah, manusia adalah Tuhan.
Ketokohan Hamzah Fansuri diiktiraf oleh beberapa tokoh yang lain. Syed naquib al-Attas (1968) menganggap beliau sebagai sasterwan sulung Nusantara. R.O Winstedt pula mengatakan bahawa Hamzah Fansuri sebagai orang pertama menulis ilmu tasawuf dalam bentuk sastera iaitu syair. Selain itu, Francois Valentijn menyatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan seseorang yang mempunyai kekuatan luar biasa sebagai pengarang Islam. Syair-syair yang dihasilkan oleh beliau merupakan syair Melayu tertua, mempunyai sifat mistikal dan melambangkan perhubungan Tuhan dan manusia. 
Namun, ketokohan Hamzah Fansuri ditentang oleh tooh lain apabila beliau telah ditugaskan oleh pemerintah pada zaman Stamford Raffles untuk menterjemahkan injil ke dalam bahasa Melayu. Beliau dianggap tidak setia terhadap bangsanya sendiri dan dianggap mengkhianati agamanya.

Konsep Wujudiyah
Ajaran tasawuf wujudiyah yang dibawa oleh Hamzah Fansuri bertumbuh pada akhir abad ke-16 sehingga awal abad ke-17 Masihi. Beliau mempunyai pengikut yang bernama Shamsuddin al-Sumatrani. Beliau diberi perlindungan oleh Sultan Iskandar Muda ketika ajaran tersebut ditentang. Keadaan ini telah membantu dalam perkembangan ajaran Wujudiyah sehinggak ke Acheh dan persekitarannya. Ajaran tasawuf ini dianggap kibirrah, sesat dan juga lari daripada syariat Islam.Hamzah Fansuri ditentang dan dipulaukan oleh sesetengah ulama di Acheh. Apabila Sultan untuk Iskandar Muda mangkat, ajaran Hamzah Fansuri dilumpuhkan.
Nurruddin al-Raniri mengeluarkan fatwa untuk menghukum pengikut ajaran Wujudiyah . hal ini demikian kerana Hamzah Fansuri dan pengikutnya dianggap sebagai orang kafir. Nurruddin al-Raniri berjaya mempengaruhi Sultan Iskandar Thani  untuk memnghapuskan konsep Wujudiyah itu. Sultan Iskandar Thani telah menitahkan hukuman pancung ke atas Hamzah Fansuri dan pengikutnya. Naskhah buku yang mengandungi fahaman Wujudiyah telah dirampas dan dibakar di hadapan Masjid Baitul-Rahman di Kota Acheh.
    
Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang merupakan penulis dan pengarang Sejarah Melayu. Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad, bergelar Paduka Raja seorang yang berjawatan bendahara. Tun Seri Lanang telah lahir di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Tun Seri Lanang menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor pada tahun 1580 hingga 1615. Tun Seri Lanang terkenal disebabkan oleh kepimpinan beliau dan bukannya disebabkan oleh karya beliau.

Beliau dikatakan mempunyai tanda-tanda yang menunjukkan bahawa beliau mempunyai darah berketurunan Tun Perak, iaitu bendahara Melaka yang sangat bijak dan telah membawa Melaka ke persada dunia. beliau mempunyai kecenderungan terhadap bidang penulisan. Beliau telah mula mengarang pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan kemudian bersambung apabila beliau menetap di Acheh.

Hal ini bermakna karya Sejarah Melayu ini ditulis oleh Tun Seri Lanang apabila mereka masih lagi berada dalam tawanan Acheh. Tun Seri Lanang telah memberi nama teksnya sebagai Sulalatus Salatin yang bererti “Salasilah Segala Raja-Raja” kerana beliau menyedari bahawa isi penulisan beliau adalah berkisar salasilah raja-raja Melaka. Karya itu kemudiannya telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu menjadi Sejarah Melayu oleh tokoh moden.

Sejarah Melayu merupakan sebuah karya historiografi, iaitu sebuah karya yang  berunsur sejarah. Hal ini terbukti apabila dalam buku tersebut telah menceritakan sejarah negeri Melaka sejak dari zaman pertumbuhannya sehingga Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sejarah Melayu ini telah dijadikan rujukan sejak zaman-berzaman untuk mengkaji tamadun Melayu akibat daripada peristiwa sejarah yang diceritakan di situ.

Penceritaan yang berbentuk sejarah dalam karya tersebut telah mengisahkan tentang kisah pembukaan negeri, perihal raja, undang-undang negeri dan sistem pemerintahan. Di samping itu, Sejarah Melayu juga turut mengisahkan tentang asal-usul raja, asal usul nama tempat dan adat istiadat. Oleh yang demikian, Tun Seri Lanang telah memberikan nama Sulalatus Salatin terhadap karya beliau kerana beliau sedar akan jalan cerita yang dikisahkan dalam karya tersebut yang kebanyakannya berkaitan dengan raja.

Kita juga dapat melihat bahawa dalam Sejarah Melayu, kita dapat menemukan gambaran kehidupan dan budaya kerajaan Melaka. Karya ini mengisahkan tentang kehidupan raja dan pembesar-pembesar Melaka. Karya ini juga turut menceritakan tentang keagungan pemerintahan negeri Melaka selain mengisahkan tentang sistem kerajaan, terutamanya yang berkaitan dengan tanggungjawab pembesar serta hulu balang istana.

Gambaran budaya tentang pemerintahan dalam karya Sejarah Melayu ini diterangkan dengan jelas dan terperinci untuk menggambarkan wira yang terlibat dengan kemasyhuran negeri Melaka. Namun demikian, difahamkan bahawa karya ini turut mempunyai mitos dan unsur legenda kerana terdapat beberapa peristiwa yang ditokok tambah.

Oleh yang demikian, karya Raja Ali Haji dianggap istimewa kerana karya Tuhfat al-Nafis sememangya kisah realiti yang berlaku dalam istana dan kehidupan masyarakat, manakala Sejarah Melayu ini bukan hanya mempunyai kisah yang benar tetapi juga turut terdapat mitos yang diselitkan untuk menambahkan lagi keenakan kisah-kisah yang terkandung di dalamnya. Unsur penambahan mitos dan legenda itu jelas menunjukkan perbezaan yang ketara antara Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji walaupun kedua-dua karya ini merupakan karya yang berbentuk historikal.


Raja Ali Haji

Raja Ali Haji ini merupakan seorang tokoh karya agung yang terkenal dengan karya beliau Tuhfat al-Nafis. Nama sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji. Beliau telah dilahirkan di Penyengat, Riau pada tahun 1809. Raja Ali Haji ini merupakan anak kepada seorang tokoh intelektual tradisional Riau yang pernah melibatkan diri dalam perkembangan politik sekitar kepulauan Johor-Riau.

Raja Ahmad Haji juga pernah menjadi utusan Sultan Riau kepada Gabenor Belanda, Van Der Capellen di Jakarta dan Raja Ali Haji juga turut bersama ayah beliau bagi menimba pengalaman, terutamanya semasa menemui sarjana Barat seperti T.Rooda dan H. Von Der Waal. Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh yang sangat berpengetahuan dalam ilmu agama. Beliau telah menunaikan haji dan belajar bahasa Arab serta mempunyai pengetahuan yang sangat berguna berkenaan dengan ilmu sufi.

Penulisan karya Raja Ali Haji dianggap istimewa kerana karyanya dibuat berdasarkan pemerhatian oleh beliau sendiri. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada karya beliau seperti Tuhfat al-Nafis. Beliau telah menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan penuh teliti. Beliau telah menceritakan semula perkara yang berlaku secara realiti dalam penulisan beliau dengan teliti.

Beliau juga menghasilkan karya dengan menceritakan perkara yang baik dan buruk tanpa berselindung kerana semua yang ditulis ialah berdasarkan pemerhatian beliau sendiri. Beliau telah memberikan pendapatnya secara berterus terang tentang setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan sebenar pada penulisannya. Tuhfat al-Nafis mengisahkan perasaan hampa dan kecewa orang Melayu yang telah kehilangan hak pemerintahan.

Hal ini berpunca daripada tindakan orang Melayu yang tidak mengetahui dan menyedari muslihat Bugis yang ingin memerintah Johor-Riau. Orang Melayu telah menganggap Bugis sebagai penyelamat dan mengagungkan Bugis tanpa menyedari Bugis yang berpura-pura. Seluruh sokongan mereka seolah-olah sanggup melakukan semua benda seperti yang disebutkan dalam perjanjiannya:
            “barang yang tiada suka engkau melintang, aku bujurkan, barang yang tiada suka            membujur aku lintangkan, barang yang semak di hadapanmu aku cerahkan…”

Pernyataan tersebut dapat didefinisikan sebagai kerelaan diri sendiri untuk menjadi hamba atau dijadikan sebagai hamba. Raja Sulaiman yang menyedari asal usulnya telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada Opu Bugis. Baginda juga turut menyerahkan sanak saudara perempuannya kepada Bugis akibat daripada janji tersebut.

Raja Sulaiman tidak menyedari bahawa takhtanya hanyalah sekadar nama, tetapi sistem pemerintahan adalah di bawah kuasa Bugis, iaitu dalam kawalan mereka. Hal ini telah menyebabkan rakyatnya meninggalkan baginda akibat daripada tindakannya itu yang tidak menyedari bahawa dirinya ditipu oleh orang Bugis.

Kita dapat lihat bahawa tindakan melulu yang diambil oleh Raja Sulaiman itu jelas disebabkan oleh ketamakannya yang ingin membalas dendam terhadap Raja Kecik yang telah membunuh ayahanda baginda tanpa sedar baginda telah melakukan tindakan yang tidak bijak. Tindakan baginda ini telah menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa dalam politik. Oleh yang demikian, karya Tuhfat al-Nafis dianggap sebagai sebuah karya yang berbentuk satira kerana situasi yang berlaku di Johor-Riau telah ditulis dan diceritakan dalam penulisannya.

Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa karya ini dihasilkan untuk membantah tindakan raja Melayu yang kurang bijak dan bertindak melulu.

Teknik penulisan karya beliau yang berbentuk satira ini jelas membawa pembaharuan dalam karya agung Melayu. Hal ini demikian kerana beliau berani mengkritik raja-raja Melayu dalam penulisannya dan menceritakan perkara yang benar walaupun beliau juga merupakan anak Melayu. Oleh yang demikian, karya beliau mendapat sambutan daripada masyarakat kerana penulisannya berkisar tentang hidup masyarakat yang sebenar.

Bentuk satira yang digunakan dalam penulisan beliau ternyata mampu menarik minat ramai untuk membacanya kisahnya kerana penceritaan yang bersifat humor dan realiti tanpa tokok tambah. Tuhfat al-Nafis ini ternyata sesuai dijadikan panduan kepada raja untuk melihat dan menilai diri mereka berserta dengan tindakan mereka. Penulisan karya Raja Ali Haji juga sememangnya memberi nafas baru dalam dunia sastera kerana beliau telah membongkar dan memberi pengertian yang mendalam dalam karya beliau.

Kita dapat melihat bahawa Tuhfat al-Nafis ini merupakan sebuah karya agung yang bersifat sejarah kerana gaya penceritaan dalam karya tersebut melibatkan cerita yang benar-benar terjadi dalam kehidupan orang Melayu. Kandungan cerita dalam karya ini juga mengisahkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di kepulauan Melayu seperti di Melaka, Singapura dan Johor-Riau.

Cerita pensejarahan yang dimuatkan dalam karya ini ialah membicarakan pergolakan politik, negara, masyarakat, tokoh-tokoh, adat istiadat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku yang diketahui beliau. Kisah penceritaan dalam karya Tuhfat al-Nafis bermula dari tahun 1677 sehingga 1865.
           
Menurut R.O Winstedt (1947), Tuhfat al-Nafis merupakan karya sastera sejarah yang penting dan istimewa selepas karya Sejarah Melayu. Hal ini demikian kerana Tuhfat al-Nafis ini banyak menceritakan perihal sejarah istana, iaitu berkaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku dalam istana itu sendiri. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa jelas wujudnya perbezaan antara kehidupan masyarakat dengan kerajaan, iaitu sultan dan para pembesar. Oleh yang demikian, karya ini dianggap istimewa dan unik kerana penceritaan yang melibatkan perihal sebenar yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

Raja Ali Haji juga turut membawa pembaharuan dalam karya beliau, iaitu dengan mencatat setiap tarikh bagi peristiwa sejarah yang dimuatkan dalam karya Tuhfat al-Nafis. Hal ini menunjukkan bahawa beliau sememangnya arif serta peka tentang sejarah kisah yang diceritakan dan prihatin kerana beliau mampu untuk mencatatkan tarikh bagi setiap peristiwa seperti yang berkaitan dengan adat istiadat istana, mengenai kelahiran, perkahwinan, kematian, perjanjian dagang dan diplomatik.

Karya tersebut seolah-olah seperti sebuah diari kerana setiap peristiwa turut dicatatkan juga tarikhnya. Sebagai contoh, Raja Ali Haji telah mencatatkan selok-belok upacara pemakaman sultan pada tahun 1760-an. Hal ini menunjukkan bahawa beliau bukan hanya mencatatkan tarikh dan peristiwa, malah beliau turut menceritakan setiap proses atau situasi yang berlaku terhadap sesuatu peristiwa.

Mohd. Taib Osman (1965) meletakkan Tuhfat al-Nafis di tempat yang istimewa kerana karya tersebut dianggap karya pertama yang mampu menganalisis jiwa serta dunia masyarakat termasuk dengan masalah serta kebesaran-kebesaran orang yang diceritakan dalam penulisannya. Buku ini juga turut memperlihatkan kepentingan sejarah kerana penulisnya telah mengisahkan sejarah yang berlaku di sesebuah tempat itu dengan teliti dan teratur berdasarkan pemerhatian beliau sendiri. Oleh yang demikian, buku ini dianggap istimewa kerana penulisannya yang unik dan pengolahan kandungan yang sememangnya banyak memberi panduan kepada masyarakat selain dapat mengetahui perihal sejarah yang berlaku pada ketika dahulu.
            
Mohd. Taib Osman juga turut menyifatkan karya Raja Ali Haji sebagai “the most critical of the Malay historians of old…” kerana setiap cerita yang dikisahkan dalam karya beliau ialah berunsur sejarah yang benar-benar berlaku tanpa ditokok tambah. Di samping itu, karya Raja Ali Haji juga turut mencatatkan tarikh dan peristiwa yang penting dalam karya beliau supaya para pembaca dapat mengetahui setiap peristiwa yang berlaku selain masa sesuatu peristiwa itu berlaku.

Hal ini dapat membuktikan bahawa Raja Ali Haji seorang yang peka dan teliti dalam penulisannya kerana beliau menyedari akan penulisannya yang bersifat sejarah dan beliau telah mencatatkan peristiwa-peristiwa yang penting sahaja serta setiap perkembangan peristiwa tersebut. Dengan ini, maka dapatlah dibuktikan bahawa sememangnya karya beliau telah memberi nafas baru dari segi teknik dan kisah yang diceritakan di dalam karya beliau.

Abdullah Munsyi

Nama sebenar  Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada 1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling yang juga dikenali sebagai Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai empat orang adik-beradik tetapi ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia ketika kecil iaitu semasa berusia antara satu hingga tiga tahun.

Ibu Abdullah selalu menangis dan berasa susah hati sehinggakan sampai ke pengetahuan seorang guru agama yang bernama Habib Abdullah. Beliau menasihati ibu Abdullah supaya berhenti menangis dan jika dikurniakan anak lelaki lagi, maka diberikan nama Abdullah bagi mengambil berkat daripada nama beliau.

Abdullah menyatakan bahawa asal usul keturunannya bermula daripada seorang oemuda Arab Yaman, suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul Kadir. Syeikh Abdul Kadir telah mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di India. Beliau bekerja sebagai sebagai guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin dengan gadis tempatan dan menetap di tanah asing itu.

Mereka telah dikurniakan empat orang anak dan salah seorang merupakan datuk Abdullah yang bernama Muhammad Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah mengembara sehingga ke Melaka apabila Syeikh Abdul Kadir mninggak dunia. Beliau juga tekah berkahwin di Melaka dengan gadis gadis bernama Peri Achi yang mungkin berketurunan India-Islam dan mendapat anak yang salah seorangnya ialah ayah Abdullah, iaitu Abdul Kadir sempena nama ayah beliau.

Abdullah Kadir sangat tegas dengan anaknya terutamanya dalam pelajaran. Setiap malam bapa Abdullah akan mendera beliau supaya menyambung pelajaran atau membuat membuat kerja rumah. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain.

Abdullah dikatakan cepat matang dan memiliki sikap berdikari kerana pada usia yang masih kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual laying-layang, melukis, menulis surat dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan wang Abdullah juga sangat rajin menuntut ilmu. Dia tidak kisah belajar dengan sesiapa asalkan dapat mempelajari ilmu baru.

Bidang yang paling digemarinya ialah bidang bahasa dengan meluaskan pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa, tujuan dan ilmu bahasa. Beliau juga turut mempelajari bahasa Tamil, Arab dan Inggeris selain bahasa Melayu untuk memudahkan proses berkomunikasi dengan bangsa lain.

Abdullah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau juga menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka. Golongan askar tersebut juga dikenali sebagai Supai atau ‘sepoy’ dalam bahasa Inggeris yang telah memberikan beliau gelaran “munsyi”.

Mereka merupakan anggota tentera berbangsa India yang diambil berkhidmat dengan tentera Inggeris di India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh Abdullah dihujung nama beliau dan gelaran tersebut sebahagian daripada nama penuh beliau sehingga kini. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 iaitu ketika beliau berusia 58 tahun semasa dalam perjalanan ke Mekkah.

Ketika itu beliau ingin menunaikan fardhu haji pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya. Hasil tulisan Abdullah itu telah dicetak walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberikan tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah”. Buku ini ditrbitkan oleh Balai Pustaka, Jakarta pada 1920.

Sumbangan dan Peranan

Abdullah seorang yang sangat berkebolehan dan bijak. Abdullah banyak memainkan peranan dan memikul tanggungjawab seperti telah dilantik sebagai jurutulis dan penterjemah kepada Stamford Raffles ketika membuat lawatan ke Melaka kali ketiga. Beliau bekerja di kediaman Raffles Bandar Hilir Melaka. Tugas yang dilakukan oleh beliau semasa menjadi jurutulis kepada Stamford Raffles ialah menyalin hikayat, menulis surat kiriman, menulis tentang bahasa Melayu, syair dan sebagainya. Sikap rajin dan dedikasi ini telah membuatkan Raffles menyenanginya dan berasa hormat terhadap Abdullah.

Ketika berusia 27 tahun, Abdullah telah mengajar Bahasa Melayu kepada Paderi Milne tetapi pada masa yang sama, Paderi Milne bersetuju menerima Abdullah untuk belajar bahasa Inggeris. Selain menjadi seorang guru kepada orang Inggeris, Abdullah turut mencetak buku dan risalah. Abdullah juga telah mengajar seorang Iagi orang Inggeris yang bernama C.H.Thomson ketika dia datang ke Melaka pada bulan Septembar 1815 selepas Abdullah mula belajar dan mengajar di rumah Paderi Milne.

Walaupun Paderi Thomson pernah belajar bahasa Melayu di Jawa, dia tetap mahu menguasai lagi bidang nahu dan penulisan bahasa Melayu. Abdullah bersetuju untuk mengajar Paderi Thomson bahasa Melayu setelah berbincang dengan Paderi Milne dan memperuntukkan masa yang lebih berbanding Paderi Milne. Hal ini demikian kerana, dapat dilihat bahawa orang Inggeris berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan menunjukkan penyebaran penggunaan bahasa Melayu di seluruh dunia. Kehebatan anak Melayu juga terserlah apabila mampu bekerjasama dengan orang Inggeris.

Selain itu, pada tahun 1815, peralatan percetakan telah digunakan di kediaman Paderi Milne. Percetakan lebih giat dilakukan selepas peralatan percetakan seperti pengecap buku dan surat, serta pembentuk huruf-huruf jawi di bawa masuk. Abdullah telah menggunakan peralatan baru itu untuk membuat huruf-huruf, mengaturnya dan mencetak buku serta surat.
Dengan bantuan Abdullah Aglo-Chinese College (ACC) telah mengeluarkan terjemahan buku matematik untuk anak-anak Melayu. Buku-buku perbualan dalam bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi dan majalah turut diterbitkan. Berdasarkan rekod sejarah, majalah “Bustan Ariffin” telah diterbitkan di dalam dwi-bahasa, Inggeris- Melayu tiga bulan sekali. Bagaimanapun, penerbitan majalah tersebut hanya mamou bertahan selama dua tahun sahaja.

Apabila Singapura dibuka, Abdullah telah berpindah ke sana dan menjadi jurutulis serta jurubahasa Raffles. Di Singapura, beliau tetap meneruskan kerja-kerja utamanya seperti di Aglo-Chinese College di Melaka, iaitu sebagai jurucetak, jurubahasa dan mengajar bahasa Melayu kepada pedagang-pedagang yang berada di Singapura. Beliau juga bertanggungjawab menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles.

Abdullah juga diberi tugas untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab, hikayat dan syair. Bahan-bahan tersebut kemudiannnya akan dibawa oleh Raffles ke England. Seorang Inggeris yang bernama Newbold telah mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat Jakun dalam bahasa Inggeris apabila Abdullah kembali ke Melaka. Tugas itu telah membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi melihat dan mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di sana.

 Pemikiran Abdullah Munsyi

Kebanyakan hasil penulisan yang ditulis oleh Abdullah ini ialah berdasarkan pengalaman hidup beliau. Antara hasil karya yang telah ditulis ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838) iaitu ketika beliau sedang mengembara ke Pahang, Terengganu dan Kelantan), karya Hikayat Abdullah (1894) tentang perjalanan hidupnya, karya Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah (1920), karya Syair Singapura Terbakar (1830), Dewa-ul-kulub (1883) dan sebagainya.

Sarjana bahasa bersepakat bahawa dari segi penggunaan bahasa Melayu, Abdullah Munsyi tidak boleh dikategorikan sebagai tokoh bahasa yang terbaik. Abdullah menggunakan bahasa Melayu yang tidak setaraf dengan bahasa Melayu yang terdapat dalam karya-karya Melayu lama. Hal ini demikian kerana, Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Tamil dan pada peringkat awal, bahasa Melayu diajar oleh bapanya sendiri. Walaubagaimanapun, dengan semangat yang tinggi, Abdullah mempelajari bahasa Melayu secara formal, teratur dan betul.

Abdullah boleh dianggap sebagai wartawan yang merakamkan pengalaman hidup dan kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakatnya. Karya yang ditulis berdasarkan hal-hal yang menarik dan mampu memberikan manfaat kepada para pembaca kerana cerita yang dihasilkan bukanlah cerita dongeng atau khayalan.

Bahan-bahan yang ditulis Abdullah menjadikan suatu titik persimpangan besar yang membezakan antara karya-karya Melayu lama dengan penulisan Melayu moden. Begitu juga dengan hasil penulisan Abdullah yang tergolong dalam bentuk kesusasteraan Melayu moden. Oleh itu, Abdullah Munsyi telah diberikan penghormatan oleh golongan sasterawan Melayu sebagai “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden”.

Abdullah Munsyi telah diiktiraf sebagai Pelopor Kesusasteraan Melayu Moden. Gelaran itu diberikan kerana beliau ysng memulakan penulisan corak baru yang menyimpang daripada tradisi sebelumnya. Ciri-ciri penulisan beliau ialah tidak lagi berkisar di istana, tidak juga mengandungi mitos dan legenda, tidak terbina atas khayakan melulu dan telah berhenti mengagung-agungkan golongan istana dan bangsawan.


Abdullah meninggalkan ungkapan-ungkapan tradisional seperti talibun yang sering diulang-ulang untuk melukiskan sesuatu. Beliau juga menggunakan ganti nama diri aku atau ku yang menjelaskan sifat keakuan dan sifat bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan. Genre-genre baru yang diterokai beliau ialah autobiografi dan memoir. Walau bagaimanapun, masih terdapat ciri-ciri sastera Melayu tradisional dalam karya seperti Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Di samping itu, lenggang-lenggok bahasa yang digunakan oleh beliau masih terikut-ikut dengan bahasa yang terdapat dalam Sejarah Melayu.

Datuk Shahnon Ahmad

Datuk Shanon Ahmad merupakan Sasterawan Negara yang kedua. Beliau dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Kampung Derdap, Sik Kedah. Beliau merupakan kanak – kanak pendiam dan pemalu serta tidak suka bercampur gaul dengan orang lain. Beliau banyak meghabiskan zaman kecilnya di sawah ,mencari ikan di sungai dan memburu burung. Kepayahan hidup dan dibesarkan dalam suasana kampung yang mecabar telah mematangkan pemikiran beliau. Sifatnya yang sensetif mendorong beliau untuk menulis kisah – kisah hidup manusia dan segala perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Jika ditinjau, kebanyakan novel – novel hasil tulisan beliau berkisarkan dengan isu sosial, iaitu kemiskinan dalam masyarakat luar bandar, kisah – kisah politik dan sebagainya. Falsafah penulisan beliau paling banyak adalah berkaitan dengan isu kemiskinan. Perkara ini terbukti apabila terdapat banyak novel beliau yang menyentuh isu – isu kemiskinan seperti Rentong, Seluang Menodak Baung, Ranjau Sepanjang Jalan , Patriach, Srengenge , Kemelut , Tunggil –tunggul Gerigis, Detik-Detik Diri Di Daerah Daif.

Persoalan kemiskinan sering diutarakan dalam novel-novel Shahnon kerana beliau sudah sebati kemiskinan. Beliau sendiri hidup dalam keluarga yang miskin, sanak saudaranya serta masyarakat di sekelilingnya juga miskin. Dalam novel Rentong misalnya, Shahnon menceritakan perihal masyarakat tani yang begitu dahagakan pembangunan di kampong Banggol Derdap, iaitu kampungnya sendiri. 

Watak – watak dalam novel tersebut seperti Dogol, Semaun, Pak Senik Jeha dan Lahuma mengetengahkan konflik jiwa dalam diri mereka yang mewakili masyarakat kampong tersebut. Novel ini mampu memberi kesedaran kepada para pemimpin supaya membuka mata akan kesusahan masyarakat desa yang terabai dalam arus pemodenan.

Dalam novel Rentong juga menbgisahkan kehidupan masyarakat desa yang hanya bergantung hidup dengan hasil tani sahaja. Turut diceritakan mengenai seekor harimau ganas yang sering menyerang hasil ternakan orang – orang kampung. Pelbagai cara dilakukan untuk membunuh harimau tersebut tetapi tidak berjaya kerana kurangnya kerjasama yang diberikan oleh penduduk kampung. Setelah kematian Dogol akibat dibaham harimau, barulah penduduk kampung berkejasama dengan padu untuk memburu harimau tersebut. Jelas tergambar beliau menerapkan nilai kerjasama masyarakat kampung selain mengutarakan isu kemiskinan di dalam novel beliau. 

Kemiskinan orang kampung yang hidup melarat dan serba kekurangan dari segi tempat tinggal disentuh oleh Shahnon Ahmad dalam novel Rentung. Misalnya digambarkan seperti petikan ini ;
“Malam itu kurang menyenangkan penduduk-penduduk Kampung Banggul Derdap : Terutama kepada mereka yang beratap bocor. Langit hitam pekat. Tak ada bintang walau sebutir sekali pun. Sekali-sekala guntur mengamuk bagaikan setan minta korban.” Selain itu, dalam novel Ranjau Sepajang Jalan pula menceritakan tentang kehidupan kampung yang berlatarbelakangkan kampung beliau. Novel ini menceritakan kisah keluarga Jeha dan Lahuma. Padi yang ditanam mereka musnah sebendang kerana diserang oleh ketam. Lahuma pula dutusuk duri menyebabkan kakinya emnjadi busuk. Isterinya Jeha telah berkorban untuk merawat penyakit Lahuma yang kritikal pada ketika itu. Ketam yang menyerang padi membawa maksud si pemiutang yang datang mengambil padi mereka yang masih muda sebagai bayaran hutang.

Kesan daripada penerimaan masyarakat yang sangat ghairah terhadap novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, maka novel ini telah diterjemah kepada bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest A Thorn. Novel hasil karya Shahnon Ahmad ini memang berkualiti apabila novel yang terjemahkan ini telah diangkat sebagai salah sebuah antara 10 novel terbaik di Sydney, Australia pada 1980-an. 

Malahan juga novel Ranjau sepanjang Jalan ini juga pernah diterjemahkan kepada bahasa lain selain daripada bahasa Inggeris seperti Sweedish, Spanish, French, Rusia dan lain-lain. Selain itu,dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan , Shahnon telah memperlihatkan betapa terbatasnya keupayaan manusia kampung menghadapi binatang-binatang kecil yang buas, onak, duri, dan ranjau yang membunuh.

Tema kemiskinan yang ditonjolkan dan digarap dengan baik dalam novel mampu membawa pembaca menyelami penderitaan dan kepayahan golonga yang miskin. Dalam novel ini, Shahnon mengutarakan mengenai kekolotan pemikiran masyarakat kampung telah menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pembangunan. Shahnon juga menyelitkan  sikap penduduk kampung yang mudah menyerah semasa ditimpa kesusahan. Perkara ini bertujuan untuk menyedarkan mereka dari berfikiran kolot.

Selain daripada isu – isu sosial diutarakan, beliau turut mengupas tema politik dalam beberapa buah novel beliau. Novel Patriach mengisahkan seorang wakil rakyat.iaitu Yang Jasadiah berusaha untuk membasmi kemiskinan yang membelenggu penduduk kampung yang dibawah pimpinannya. Jasadiah yang merupakan seorang wakil rakyat telah bersumpah dan berjanji berhabis-habisan untuk memperjuangkan dan mengubah taraf hidup rakyat yang masih serba kekurangan. Jasadiah dan isterinya Hamidah bersetuju untuk berkorban demi untuk mencapai kehandak rakyat. Mereka sanggup memilih untuk hidup susah, apa yang penting bagi mereka adalah nasib rakyat terbela dan terjaga.

Novel ini ditulis adalah untuk memberi didikan dan pengajaran kepada pemimpin – pemimpin supaya jujur dan tidak mementingkan diri serta mendahulukan rakyat. Selain itu, pemikiran agama turut diutarakan dalam novel beliau, seperti dalam novel Mahabbah. 
Kesimpulannya, karya Shahnon Ahmad sangat berkualiti kerana beliau bijak mempersembahkan pemikiran beliau terhadap sesuatu isu dengan kreatif dan mampu membawa pembaca menyelami sendiri kehidupan yang digambarkan dalam novel. Novel – novel yang ditulis kebanyakannya berkisarkan tentang kemiskinan dan beliau mahu masyarakat dan golongan pemimpin membuka mata terhadap segelintir golongan miskin di luar bandar. Hasil garapan penceritaan beliau membuktikan bahawa Shahnon Ahmad merupakan seorang yang sangat peka dan berjiwa rakyat. Beliau turut melakukan kritikan sosial dalam novelnya serta mengkritik pemimpin – pemimpin yang tidak telus menjalankan tanggungjawab mereka. Setiap hasil penulisan beliau sebenarnya memperjuangkan sesuatu perkara yang berperang dalam dirinya. Beliau meluahkannya melalui penulisan. 



SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI


Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi. Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh. Tarikh wafat nya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya,Nuruddin ar-Raniri,iaitu pada malam Isnin,12 Rejab 1039H/1630M. Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin Sumatrani. 

Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang telah turut mencorak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Diantara sumber tua yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh, Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Mengenai asal-usulnya, tidak diketahui secara pasti bila dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra ini dulunya pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai. 


Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang dimulai oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai murid nya. Apa yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri. 

Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian kebelakang disokong oleh beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani. Didalam karya nya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf karya-karya Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi. Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ditulis sebagian berbahasa Arab, sebahagian lagi berbahasa Melayu (Jawi). 

1 comment:

  1. Where to Play Blackjack Online | DrmCD
    Blackjack Online. 거제 출장안마 The Blackjack Game of the Week in 2021 is a 안양 출장안마 favorite 당진 출장안마 casino game. 출장샵 The game can be played with 3 or more people, and it 익산 출장샵 is also a part of

    ReplyDelete