Saturday 6 December 2014

Nilai Estetika dalam Karya Agung Melayu




Catatan Kamus Dewan Edisi Keempat, estetika bererti cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Jika kita memetik kata-kata Rahman Shaari (2001), “estetika bermaksud nilai keindahan dalam karya sastera yang berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya” Menurut beliau lagi, bagi sesebuah karya sastera aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Van Mater Ames dalam bukunya Colliers Encyclopedia Volume 1 menyatakan bahawa estetika sebahagian daripada telaah yang berkaitan dengan penciptaan, apresiasi dan kritikan terhadap karya seni dalam konteks berkaitan seni dengan kegiatan manusia serta peranan seni dalam perubahan dunia. V.I Braginsky (1994:16) menyatakan bahawa keindahan atau indah merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Beliau turut merumuskan tiga aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera dengan penggantian perkataan indah dengan perkataan yang seerti. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang dan mempunyai kuasa penyembuh, namun perkara yang lebih mustahak sekali iaitu kesan keindahan dan manfaat yang terkandung dalamnya.

Nilai estetika yang terselit dalam penulisan karya agung Melayu lebih kepada nilai keindahan. Nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam karya agung Melayu melahirkan keseronokan, manfaat dan penikmatan karya sastera kepada pembaca.

a)      Pemikiran pengarang
Dalam penghasilan karya-karya agung, pengarang cuba memperlihatkan beberapa pemikirannya sendiri untuk membina jalan cerita yang menarik. Pengarang telah mewujudkan watak-watak dalam penulisannya. Watak yang dilahirkan sama ada antagonis atau protagonis dapat memberi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya agung. Watak-watak yang ditampilkan oleh pengarang dapat menghidupkan jalan cerita dalam penulisannya melalui perwatakan.
Setiap watak menjalankan fungsi mereka tertentu berdasarkan idea yang telah ditulis oleh pengarang dalam karyanya. Misalnya, pengarang telah mewujudkan idea melalui imej-imej plastis atau pengarang menggambarkan watak dan jalan cerita tersebut benar-benar terjadi. Secara tidak langsung, keadaan ini boleh membentuk akal pembaca dan pendengar.
Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah dijadikan sebagai watak utama oleh pengarang. Sebagaimana yang telah kita ketahui, Hang Tuah merupakan tokoh pahlawan Melayu yang unggul. Hikayat Hang Tuah memperlihatkan kebesaran raja Melaka, kelebihan kerajaan Melayu Melaka dan ketokohan pahlawan Melaka. Menurut idea yang dilahirkan oleh penulis, Melaka sangatlah maju, berkembang dan berpengaruh pada zaman tersebut. Buktinya, pengaruh raja Melaka meluas di Tanah Jawa dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara China.
Penulis cuba menyampaikan idea atau pemikiran setia kepada raja dan tanah air melalui watak utama, Hang Tuah. Hang Tuah yang sangat cinta pada tanah air telah mengabdikan dirinya untuk raja dan negara sehinggakan beliau sanggup membunuh sahabatnya sendiri. Beliau turut berjuang untuk mempertahankan Melaka daripada dicerobohi oleh kuasa asing seperti Melaka.
Dalam aspek ini, pengarang cuba menekankan pemikirannya mengenai semangat cinta pada raja dan tanah air. Pemikiran tersebut sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca agar menanamkan semangat patriotik yang kian memudar dalam diri generasi muda kini. Pembaca haruslah mengambil teladan daripada pemikiran yang dicerna oleh pengarang sebagai panduan untuk keharmonian tanah air.

b)      Nilai
Penulisan karya agung Melayu dihiasi dengan nilai-nilai yang diwujudkan oleh pengarang. Di sebalik nilai keindahan dalaman karya agung terdapat nilai-nilai lain yang diungkapkan oleh pengarang secara tersirat. Nilai-nilai tersebut sangat tinggi dan perlu diteliti oleh pembaca untuk mendapatkan maknanya. Dalam erti kata lain, nilai boleh dianggap sebagai tindakan yang bagus haruslah dijadikan contoh dan teladan.
Nilai keislaman turut disentuh dalam kebanyakan karya agung oleh pengarang. Unsur keislaman ini selalunya dapat dilihat pada bahagian permulaan karya agung. Di samping itu, pengarang turut menonjolkan kedatangan Islam dan kemunculan para ulama atau tokoh Islam. Pengarang memperlihatkan nilai keislaman ini dalam karya agung Bustan al-Katibin
Al-hamdulillahi ladzhi akhraja bi’ibadi mina ‘l-jahili wa’ z-zalami, wa’ s-solatu wa ‘salamu ‘ala Sayyidina Muhammadan fasha ‘l-lughata wa ‘l-kalama, wa ‘ala alihi wa asha bihi hum ahli ‘l-fadli wa ‘l-akram. Ertinya, segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengeluarkan akan hamba-Nya (daripada) bodoh dan gelap; dan rahmat serta salam-Nya atas penghulu kami Nabi Muhammad yang terlebih fasih daripada segala bahasa dan terlebih fasih daripada segala perkataan; dan atas keluarganya dan segala sahabatnya iaitu segala mereka itu yang ahli kelebihan dan kemuliaan.

                                                                                              (Bustan al-Katibin)

Pembuka bicara surat yang ditulis oleh Raja Tulela Syah menggunakan nama Allah Ta’ala jelas menunjukkan bahawa pengarang telah menyelitkan unsur keislaman dalam karya tersebut. Unsur keislaman telah memberi keindahan dalaman kepada karya Hikayat Inderaputera tersebut.
Kebudayaan Melayu turut menjadi unsur keindahan dalaman yang ditimbulkan oleh pengarang dalam sesebuah karya. Kebudayaan Melayu tidak boleh lari daripada penulisan pengarang kerana kerajaan yang membangun pada ketika itu dalam lingkungan Alam Melayu. Kebudayaan Melayu yang ditimbulkan bukan sahaja memaparkan aspek kemanusiaan, kemasyarakatan, sejarah bahkan kebudayaan tersebut dapat menyingkap perihal batin, hati, akal dan budi. Kebudayaan Melayu bukan sahaja diamalkan oleh orang Melayu bahkan mereka yang datang ke alam Melayu turut mengamalkan kebudayaan tersebut.
“Adat istiadat diraja yang disusun oleh Sultan Muhammad Syah mengandungi larangan kekuningan, hak memakai perhiasan emas, cara pemakaian ketika menghadap raja, payung kuning untuk anak raja, tatacara menjunjung duli, peraturan perarakan bergajah menghantar dan menerima surat dan utusan, adat mengurniakan gelaran…”
   (Sejarah Melayu:56-61)
Terdapat pelbagai adat istiadat dalam Sejarah Melayu yang telah berjaya memberi nilai estetika kepada karya tersebut. Pengarang begitu bijak dalam menonjolkan kehidupan Melayu dalam karyanya. Pengarang berjaya menghidupkan perjuangan dalam mempertahankan budaya Melayu sehinggakan suasana tersebut dapat digambarkan oleh pembaca sehingga memberi unsur keindahan.

c)      Spiritual
Nilai spiritual yang dibawa oleh pengarang umpama perisa yang memberi rasa keindahan kepada karyanya. Nilai spiritual merupakan segala hal yang berkaitan dengan rohani, jiwa dan semestinya bukan bersifat fizikal. Jiwa dan rohani manusia yang tersirat tidak dapat dilihat dengan mata kasar.  Apabila kita membaca episode dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat unsur-unsur perspektif spiritual. Cara pengarang menyampaikan unsur spiritual ini melalui watak Hang Jebat apabila retaknya nilai persahabatan beliau dengan Hang Tuah.
             “Hai Si Jebat derhaka! Sungguh kau berani tidak melawan! Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang” Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana, maka dibuaknya peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana terdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Tuah pun berdebar-debar hatinya.
(Hikayat Hang Tuah: 338)
Pengarang telah membina satu jalan cerita yang memberi konflik antara watak utama iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Konflik wujud apabila Hang Jebat menderhaka kepada Raja dan ingin membalas dendam terhadap kematian Hang Tuah sedangkan Hang Tuah disembunyikan oleh bendahara Melaka. Hang Tuah yang sangat taat kepada Raja sanggup beradu kekuatan dengan Hang Jebat. Hang Tuah sanggup mengetepikan persahabatan yang dibina sejak kecil untuk menjaga kedaulatan tanah air tercinta. Kita dapat lihat dua unsur spiritual yang ditonjolkan oleh pengarang pada waktu yang sama iaitu semangat setia kawan dan semangat cinta pada Raja dan tanah air.

d)     Unsur humor
Unsur humor salah satu unsur yang sangat unik. Humor bermaksud perbuatan yang melucukan. Unsur ini mungkin ditimbulkan oleh pengarang secara tidak sengaja. Kemungkinan pada asalnya pengarang cuba menyampaikan sesuatu cerita itu untuk memberi maklumat atau gambaran sahaja tetapi apabila dibaca oleh pembaca menimbulkan kelucuan pula.
Unsur humor ini sering kali digandingkan bersama wit. Unsur wit berkaitan dengan akal, budi, fikiran dan kecerdasan otak dalam melakukan sesuatu perkara. Unsur humor ini boleh kita lihat dalam karya Tun Seri Lanang iaitu Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang sangat bijak dalam mencorakkan jalan cerita dengan mewujudkan unsur-unsur yang boleh menghiburkan pembaca.
“Tun Pepatih Putih menghadap Negara China. Ia makan kangkung pada masa mengangkat kangkung itu ke atas ia dapat melihat raja China dengan nyatanya”
        (Sejarah Melayu: 95)
Ada seorang keeling, Miaruzu namanya, ikut askar Melaka melanggar Haru. Ketika ia hendak buang air, bertemu dengan seekor kambing randuk, kerana takut, ia menyangka kambing itu askar Haru, ia lari tunggang-langgang. Perbuatan ini menggemparkan askar-askar Melaka, Miaruzul memberitahu:
“Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia Zughul, kita zughul ia hudap”. Tetapi bila disiasat ternyatalah hanya seekot kambing randuk. Peristiwa itu melucukan lalu dibuat pantun mellaui kata-kata Miaruzul itu.
(Sejarah Melayu)

Unsur humor ini memperindahkan lagi jalan cerita dalam sesebuah karya agung. Ia memberi sedikit sebanyak hiburan berbentuk lucu kepada pembaca. Teknik penceritaan berunsur humor ini berjaya memberi estetika kepada karya agung yang ditulis tersebut.




1 comment:

  1. waaa...isi kandungan blog ini menarik dan sangat membantu. TQ!

    ReplyDelete