Thursday 27 November 2014

Analisis Karya Agung


Hikayat Hang Tuah

Konsep Penulisan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut.

Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676 dengan 1700.

Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah, garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak.

Kemungkinan, dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak Melayu. 

Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta. Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional (2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan tersebut membawa maksud “cerita”.

Tema Hikayat Hang Tuah

Tema merupakan suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah yang menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008) pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya.

Ketaatan Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada rajanya. Sifat taat yang terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk rajanya.

Sebagai contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda anak raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada raja bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja adalah untuk menuntut bela atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung nyawanya dan melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke negeri Melaka hanya untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka.

Persoalan

Selain tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang agung.

Sesebuah karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional. Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.

Antara persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. 

Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan Bendahara Paduka Raja.

Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:

“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
( Hikayat Hang Tuah,1997:37 )

Selain itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka semakin menyayanginya. 

Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana, setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri. Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.

           … Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hang Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina. Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 24)    

Seterusnya, persoalan  tentang ketangkasan. Kejayaan Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai seorang yang tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu.

Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat digambarkan petikan teks tersebut:

Setelah sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati.  Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri, sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis oleh Laksamana   dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada mengena Laksamana.
( Hikayat Hang Tuah, 1997: 281 )

Pengajaran

Kekuatan kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), pengajaran ialah perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna peringatan atau pedoman. Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:

Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
( Hikayat Hang Tuah, 1997: 205 )

Petikan ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang sengaja merancang sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara. Pihak perancang ingin melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.

Selain itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan, dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu mengelakkan diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana pengunduran seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut menjejaki tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu, sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.

Tuntasnya, berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini mempunyai kekuatan kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera tradisional yang lain. Hikayat ini merupakan hikayat yang mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani berdasarkan watak utamanya iaitu Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga banyak menekankan tentang kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu, pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman kedapa masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.

Kekuatan Pengarang

Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan bahasa cerita. Contohnya :
                        Kain bersuji di atas atap,
                                    Pakaian raja hari raya;
                        Jika sudi tuan santap,
                                    Jika tidak apakan daya.

Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan.

Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong, bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau jong untuk kenaikan raja.

Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri, rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat, hormat-menghormati, dan sebagainya.

Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk. Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Motif Pengarang

Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar biasa.

Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran. Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.

Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:

“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.

Hikayat Hang Tuah, hlm. 473 )

Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dipertuturkan oleh masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan.

Oleh itu, pengarang ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam hikayat ini.  


Sulalatus Salatin

Konsep Penulisan Sulalatul-salatin

Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks-teks yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin  ini telah melalui beberapa zaman dan dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor. Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun tersebut.

Sulalatul Salatin  adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah titah yang berbunyi :

“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh faedahnya mereka itu daripadanya”.
 (Sulalatul Salatin, hlmn. 390)

Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri. Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.

Kekuatan Pengarangan

Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.

Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini seperti :

Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah, taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang, remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.

Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/, wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa Melayu moden seperti :
                        menengar = mendengar
                        mementang  = membentang
mengantarkan = menghantarkan

Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu.  Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam Sulat al-Salatin seperti :

            Nugraha, manusya, binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita
            
Bakat sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis, sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad Haji Salleh, 1997: 5). 
Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah, tetapi dilukin dengan mata pena  yang halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram, pemabuk dan sebagainya.

Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup, penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta kecerdasan mengolah bahasa.

Motif Pengarang

Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting. Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna untuk zaman dan generasi akan datang.

Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang jujur akan disanjung oleh masyarakat. 


Bibliografi

Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) Sdn. Bhd.
 Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional. Selangor: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat al-Salatin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Yusoff  Iskandar dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann.

No comments:

Post a Comment