Tuesday 2 December 2014

Nilai - nilai Ilmu dan Maklumat

Terdapat pelbagai jenis ilmu yang diperolehi melalui karya agung Melayu. antaranya ialah, ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi, ilmu pengasih, dan sebagainya.  Begitu juga dengan strata sosial masyarakat Melayu yang diamalkan ketika zaman pemerintahan federal dan adat istiadat yang diamalkan secara turun temurun.

1. Ilmu Firasat
 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat bermaksud pengetahuan mengenai tanda – tanda pada badan untuk mengetahui nasib orang. Umumnya ilmu firasat lebih kepada tilikan atau ramalan terhadap sesuatu perkara. Melalui ilmu firasat, ahli nujum mempercayai bahawa mereka mampu mengetahui kelemahan  atau kekuatan orang lain berdasarkan nama. Lazimnya, ilmu firasat terbahagi kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.

  •  Firasat tilik nasib

Firasat tilik nasib dalam Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut mengenai serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan – pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa – gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya tidak akan terlepas daripada tangannya.

Di mana kamu semua orang muda – muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira – kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu: 74)

  •    Firasat mimpi

Dalam Fasal 13, Bab II Bustan al – Salatin, unsur mimpi dikemukakan di mana Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Dalam mimpinya itu, turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi yang dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua – dua pasangan muda tersebut. Esoknya, Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al – Adil (Bustan al – Salatin: 18).

  •     Firasat terhadap binatang

Ilmu ini diamalkan dalam Hikayat Raja Pasai. Anjing – anjing diberikan penghormata pada ketika itu. Dalam Hikayat Raja Pasai, anjing perburuan Merah Sulu dikaitkan dengan penemuan negeri Pasai. Anjing perburuan itu telah menyalak tanpa henti di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Merah Sulu kemudian menjadikan tempat tersebut sebagai sebuah negeri dan menamakan negeri itu sempena nama anjing itu (Hikayat Inderaputera: 13).


2. Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat dengan kaedah tradisional. Kebiasaanya, dukun ini mengubat dengan cara membaca jampi serapah. Manakala perdukunan membawa maksud pengubatan cara kampung atau tradisional.
            Pada permulannya, kepercayaan masyarakat Melayu berbentuk animisme, iaitu menganggap benda – benda lain seperti batu, sungai, dan bukit mempunyai semangat ghaib. Mengikut kepercayaan animisme, kuasa ghaib hanya boleh dihubungi pawang, dukun, dan bomoh kerana dipercayai mereka memiliki magis.

3. Ilmu Jampi
 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), membawa maksud kata –kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Mana Sikana (1996) berpendapat bahawa jampi serapah digunakan untuk melahirkan perasaan dan berhubung kait dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dibaca untuk memberi kesaktian dalam perubatan. Pawang yang membaca jampi dianggap mempunyai kesaktian dan bersifat luar biasa sebagai perantaraan antara manusia dan makhluk halus.
            Menurut Harun Mat piah (1989) pula menyatakan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk prosa atau puisi yang mengandungi tujuan dan konotasi magis pengubatan dan perbomohan.
            Menariknya mengenai jampi ialah penyampaiannya dalam bahasa Banjar dan boleh diwarisi oleh orang tertentu sahaja. Mana Sikana (1996) menyatakan lagi bahawa jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan (jampi jenis larangan), jampi tawar biasa (jampi jenis perubatan) dan jampi pendinding (jampi jenis larangan).

  •         Jampi menolak syaitan

Jampi ini digunakan untuk menghalau jin dan mengubat penyakit yang berkaitan dengan penyakit halus. Cara menggunakan jampi bermula dengan individu itu perlu memandang tegak kehadapan kemudian membaca jampi. Selepas jampi dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali berturut.

  •       Jampi tawar biasa

Jampi tawar bisa ini digunakan untuk merawat kesakitan serius seperti patukan ular berbisa yang boleh membawa maut dan kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini mempunyai dua kaedah penggunaannya. Kaedah yang pertama ialah menjampi terus dengan meniup pada bahagian yang sakit selepas pembacaan jampi. Kesan tiupan jampi tesebut dipercayai mampu mencabut bisa yang ditanggung pesakit.
Kaedah yang kedua ialah membaca jampi ke dalam air. Selepas air tersebut dijampi, air tersebut hendaklah diminum, digunakan untuk mandi atau disapukan ke kepala. Pantang larang air yang telah dijampi ini ialah tidak boleh dilangkah oleh kucing. Air tersebut tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk dan perlu disimpan di tempat yang tinggi. Sebaik – baiknya air yang digunakan ialah air hujan yang ditadah dan turun daripada langit serta tidaj tersangkut di mana – mana.

  •   Jampi pendinding

Jampi jenis sangat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu. Jampi ini dipelajari dan diamalkan sebagai alat pengebal atau untuk mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang. Cara penggunaan jampi ini ialah dengan meminum air yang telah dijampi atau menulis jampi tersebut di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Pantang larang azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat.


4. Ilmu Pengasih
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengasih ditakrifkan sebagai ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, dan guna – guna yang boleh membangkitkan rasa kasih. Umumnya, ilmu pengasih ini digunakan untuk menarik minat orang disukai oleh individu terbabit. Kemungkinan orang yang disukainya itu jual mahal ataupun tidak menaruh perasaan suka terhadapnya menyebabkan dia terpaksa menggunakan ilmu pengasih. Cara yang sering digunakan adalah dengan mencalitkan minyak kepada seseorang yang disukainya atau dengan cara menjampi gambar.
            Harun Daud (2001), berpendapat ilmu pengasih berkait rapat dengan unsur alam seperti bintang, bulan dan matahari. Unsur – unsur ini digunakan sebagai kiasan kepada anggota pengamal agar kelihatan cantik.
            Tuntasnya, ilmu pengasih ini sering digunakan untuk memikat orang yang disukai individu terbabit. Apabila orang yang disukainya tidak member tindak balas yang positif, ini memaksa individu terbabit menggunakan cara halus walaupun bertentangan dengan agama.

5. Strata Sosial Masyarakat Melayu
Menurut Kamus Dewan (2010), strata boleh didefinisikan sebagai tingkat duduk atau peringkat taraf dalam susunan atau hierarki tertentu. Strata juga dikenali sebagai stratifikasi iaitu pengkelasan masyarakat kepada beberapa lapisan kelas yang berbeza.
            J.M. Gullick (1970), pula berpendapat stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Sejarah Melayu. Masyarakat Melayu tradisional dikelaskan kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Kedua – dua golongan ini terbahagi kepada beberapa kelompok kecil mengikut taraf, kedudukan, dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat. Namun, kecenderungan terhadap pemerintah boleh dilihat dari segi politik, undang – undang, ketenteraan, ekonomi, dan adat istiadat. Golongan pemerintah dalam masyarakat Melayu tradisional terbahagi kepada dua iaitu golongan diraja dan golongan bangsawan. Manakala golongan  yang diperintah

  •  Golongan Pemerintah

Golongan diraja dalam masyarakat Melayu tradisional terdiri daripada raja atau sultan atau Yang Dipertuan. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005: 38 – 39), berpendapat raja mempunyai kuasa autoriti menduduki tempat teratas dalam strata sosial masyarakat Melayu. Raja berperanan sebagai pemimpin dalam hal peperangan, mengadakan hubungan diplomatik dengan negara luar, dan lambang kedaulatan dan kebesaran negeri.
Golongan diraja dan kerabat diraja menduduki susun lapis yang teratas. Dengan mengambil contoh di Melaka, semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al – Salatin: 65). Seorang raja dipercayai mempunyai kebijaksanaan dan keistimewaan tertentu sebagai raja yang berdaulat.

Sebermula berapa lamanya Sultan Mahmud Syah di atas kerajaan maka terlalulah ‘adil baginda pada memeliharakan segala ra’yat.
(Sulalatus Salatin: 65).

Keluarga dan kerabat diraja mempunyai jurai keturunan raja yang memerintah pada ketika itu dan mempunyai kedudukan istimewa. Mereka diberi jawatan penting seperti bendahara dan temenggung. Jumlah golongan ini agak ramai kerana amalan poligami, malah tidak semua anak raja diberikan jawatan dalam politik (Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2005:79)

“Bahawa sudahlah hamba kawinkan anak raja Kida Hindi dengan yang bernama Tuan Puteri Syahr al – Bariyah itu dengan Raja Iskandar, isi kawinnya tiga ratus ribu dinar emas. Redhakah tuan hamba?”
 (Sulalatu Salatin; 6)
           
Golongan bangsawan menduduki tangga kedua dalam strata sosial masyarakat Melayu. Golongan ini tergolong daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu, Bendahari, Perdana Menteri, Bentara, dan Syahbandar (Sulalatus Salatin; 161). Lazimnya, golongan pembesar dan pentadbir berperanan sebagai penasihat raja ataupun pembesar daerah. Raja membenarkan pembesar daerah berkuasa penuh terhadap daerah – daerah tertentu. Pembesar yang dipilih kebiasaannya diambil dari satu keturunan yang mempunyai hubungan yang lama dengan daerah itu. Pembesar mempunyai autoriti seperti raja untuk mengerah rakyat menjalankan kerja – kerja seperti membina jalan, parit, tali air dan berkhidmat sebagai tentera (Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2005; 38 – 41/79).
Namun, terdapat juga golongan pendatang diakui sebagai golongan bangsawan. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada tuan – tuan sayid, makhdum, maulana dan kadi. Mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan raja. 
Golongan ulama dan pendeta merupakan golongan intelek dan alim ulama yang pakar dalam hal ehwal agama Islam. Mereka berketurunan Arab – Melayu. Permulaanya, mereka mengajar asas agama Islam. Setelah agama Islam berkembang pesat, mereka mula mengajar ilmu dalam bidang tasawuf, tafsir, dan hadis. Sultan melantik golongan ini menjadi guru, ketua agama, kadi, dan bertugas menasihati Sultan dalam bidang hukum syarak. Pendeta pula memiliki kepakaran dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja serta menjadi perawi Sultan. Sultan dan golongan istana menjadikan mereka ini sebagai rujukan. Sultan sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan pendatang seperti tuan – tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Buktinya, Sultan Melaka terpaksa tunduk hormat terhadap golongan ini. seorang Kadi Yusof enggan membenarkan Sultan Mahmud Syah menghadap dengan menaiki gajah.

“Beritahu Maulana Yusuf, Yang Dipertuan, Sultan Mahmud Syah, dating.” Maka diberi orang tahu Maulana Yusuf. Maka kata Maulana Yusuf, “Tutup pintu. Apa kerja Sultan Mahmud Syah dating ke rumah fakir?”
(Sulalatus Salatin; 161)

  • Golongan diperintah

Lapisan pertama dalam golongan diperintah ialah rakyat biasa yang juga merupakan golongan terbesar dalam masyarakat Melayu. Peranan utama rakyat ialah menyokong dan patuh kepada institusi raja dan pembesar. Mereka hendaklah bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan tradisi. Majoriti rakyat biasa ini ialah orang Melayu dan selebihnya ialah orang asing dan orang laut yang terlibat dalam kegiatan ekonomi sebagai pedagang., peniaga, pedagang – mubaligh dan senteri yang menyebarkan agama Islam. Rakyat biasa menduduki tangga ketiga dalam hierarki masyarakat Melayu iaitu di bawah bangsawan. Mereka merupakan rakyat biasa yang merdeka dan terdiri daripada pedagang, tukang – tukang mahir, petani dan juga saudagar. Terdapat juga saudagar yang mempunyai hubungan rapat dengan golongan atasan, misalnya Raja Mendeliar, Nana Surana Dewana, dan Kitul. Kitul dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang dengan raja tersebut. Walau bagaimanapun, Kitul telah membuat fitnah dengan mengatakan Nina Sura Dewana pergi berjumpa dengan Bendahara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendelair menghapuskan hutang Kitul (Sulalat al – Salatin: 204). Orang kaya pula merupakan golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini membantu golongan peniaga melariskan hasil jualan.
Golongan hamba merupakan golongan yang paling bawah dala strata sosial masyarakat Melayu. hamba ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu hamba raja, hamba abdi dan hamba hutang. Hamba raja terdiri daripada orang yang merdeka yang telah melakukan jenayah dan mendapat keampunan daripada Sultan dan berjanji akan menjadi hamba turun temurun. Golongan ini juga terdiri daripada tawanan perang. Mereka digelar biduanda dan taraf mereka lebih tinggi daripada hamba abdi dan hamba hutang.
Hamba abdi pula biasanya terdiri daripada orang berbangsa Afrika, orang Asli dan orang Batak yang bukan Islam. Boleh juga terdiri daripada tawanan perang, lanun, pesalah jenayah berat, dan sukarela atas alasan untuk mencari tempat bergantung.  Hamba jenis ini boleh dimiliki secara mutlak dan boleh dijual beli. Peluang untuk mereka merdeka sangat tipis melainkan diberikan kebebasan oleh tuannya. Mereka juga idak mendapat pengiktirafan dalam masyarakat.
Hamba berhutang pula orang yang berhutang tetapi gagal melangsaikan hutangnya. Bagi melunaskan hutang, mereka berkhidmat dengan pemiutang sehingga hutang langsai. Setelah hutang langsai, mereka kembali merdeka dan masih diakui sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuannya. Beza antara hamba berhutang dengan hamba abdi ialah, hamba berhutang tidak boleh dijual beli dan taraf mereka lebih tinggi daripada hamba abdi.




6. Adat dan Istiadat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan dari nenek moyang lagi sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Masyarakat Melayu mula mengkhususkan maksud adat dengan merujuk kepada upacara tradisional dan undang – undang adat. Istiadat pula merujuk kepada peraturan atau cara – cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Ringkasnya, adat istiadat membawa maksud pelbagai iaitu adat dan upacara termasuk perlaksanaannya.
            Dalam Sulalat al – Salatin, terdapat dua jenis adat iaitu adat yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang – undang dan larangan diraja. Undang – undang yang disenaraikan dalam Sulalat al – Salatin ialah derhaka, menggunakan hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa, tidak mengadap raja pada hari – hari tertentu, biadap kepada raja atau wakil, mencuri, membuat fitnah dan mengambil isteri orang.

 Adat yang melibatkan hukuman
  •              Derhaka

Penderhaka boleh dikenakan hukuman bunuh oleh raja. Orang pertama yang menerima hukuman bunuh ialah Tun Jana Khatib yang dianggap sebagai penderhaka kerana disyaki oleh Paduka Seri Maharaja cuba menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaan membelah pohon pinang melalui tilikan mata (Sulalat al – Salatin: 55).

  •   Menggunakan hak raja tanpa izin

Hang Tuah menggunakan hak raja, iaitu gundik Sultan Mansur Syah. Walaupun banyak berjasa kepada raja, itu tidak menjamin Hang Tuah terselamat daripada hukuman bunuh (Salalat al – Salatin: 97).

  • Merampas kuasa

Undang – undang ini tidak membenarkan rakyat atau pembesar merampas kuasa daripada raja. Hal ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja setelah mendapat aduan bahawa Bendahara merancang untuk merampas kuasa (Sulalat al – Salatin: 205).

  • Tidak mengadap raja pada hari – hari tertentu

Pesalah boleh dijatuhi hukuman bunuh sekiranya tidak memberikan sebab yang munasabah. Hal ini terjadi semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, yang memerintahkan hukuman bunuh ke atas Seri Baja kerana tidak mengadap baginda pada hari raya. (Sulalat al – Salatin: 153).

  • Tidak menghormati wakil raja

Seseorang tidak menghormati raja akan dihukum bunuh kerana dianggap ingin menunjukkan kuasa. Ternyata undang – undang ini diaplikasikan apabila Laksamana bertindak membunuh Tun Perpati Hitam kerana menguis tikar ketika perbicaraannya sedang dilangsungkan di hadapan Bendahara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya (Sulalat al – Salatin: 172).

  • Membuat fitnah

Penyampai fitnah juga dihukum bunuh, di mana Raja Mendeliar telah bertindak memfitnah Bendahara Seri Maharaja dan telah dijatuhkan hukuman bunuh (Sulalat al – Salatin: 207).

  •   Mengambil isteri orang

Sesiapa yang melanggar hukuman ini tidak kira golongan pembesar ataupun sultan boleh dikenankan hukuman bunuh. Sultan Mahmud Syah telah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid. Sekiranya Tun Biajid tidak berpegang pada konsep pantang Melayu menderhaka, sudah pasti Sultan Mahmud Syah sudah dibunuhnya (Sulalat al – Salatin: 157).

Adat yang tidak melibatkan hukuman
i.        Peraturan negeri
Adat ini berkaitan dengan negeri kalah raja mati, perlantikkan pengganti seorang raja, mengadap atau menjunjung duli dan aturan pengurniaan gelaran.

  • Istiadat

Istiadat meliputi pelbagai upacara yang dijalankan oleh sekelompok manusia. Adat istiadat termasuklah istiadat perkahwinan, melenggang perut, melahirkan anak, bertindik atau berkhatan, kematian, dan pertabalan raja. 

No comments:

Post a Comment