Dalam penghasilan sesebuah karya
tidak lengkap sekiranya pengarang tersebut tidak memuatkan falsafah-falsafah
yang bersesuaian dengan penceritaan sesebuah karya. Bagi hikayat Abdullah
terdapat lima falsafah yang dikemukakan iaitu ketuhanan, keadilan, kebenaran
dan keindahan.
Falsafah Ketuhanan
Falsafah ketuhanan yang dikemukan adalah mengenai kebencian karut dan tahyul
masyarakat Melayu yang membelakangkan kuasa Allah S.W.T . Abdullah berfikiran
rasional dan realistik dan tidak mempercayai bomoh, dukun dan pawang.
Falsafah Keadilan
Falsafah keadilan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan kes Syed Yasin, kes
kezaliman Sultan, keadilan Farquha yang sedia membantu golongan bawahan yang mengalami kesusahan.
Falsafah Kebenaran
Munsyi Abdullah menyatakan perkara kebenaran dalam hikayatnya. Perkara yang
diceritakan merupakan sesuatu yang betul-betul berlaku dan diamalkan sehingga
ke hari ini seperti kepercayaan tahyul oleh masyarakat Melayu.
Falsafah Keindahan
Keindahan yang dimaksudkan dari segi bahasa, adat dan pemikiran yang diutarakan
dalam hikayat. Hikayat Abdullah membawa perubahan tema, plot, dan jalan cerita
seperti karya-karya yang ditulis dalam zamannya.
Isu yang
Dibangkitkan oleh Pengarang
Dalam Hikayat Hang Tuah,
pengarang telah menjelaskan mengenai watak Hang Tuah yang fasih 12 jenis
bahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa Nagaram. Ketika mengadap Kisna
Rayan (Raja benua Keling-Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan
bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang
lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik
iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia.
Antara isu lain yang cuba untuk
diketengahkan oleh pengarang lagi adalah mengenai sifat ajaib yang dimiliki
oleh Hang Tuah. Hang Tuah mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah
menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah
mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh
serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak.
Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan
buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa
ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.
Selain Hikayat Hang Tuah,
terdapat juga isu-isu dalam karya Sulalatus Salatin, misalnya mengenai sikap
pemimpin. Pemimpin janganlah mengikut hawa nafsu syahwat. Sultan Mahmud Melaka
digambarkan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya menyebabkan dia dibenci oleh
rakyatnya. Raja Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya Tun
Teja dilarikan oleh Laksamana ke Melaka. Tun Biajid juga menimang lembing untuk
membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya. Semua ini
menunjukkan bahawa kesan pemimpin yang hanya mengikut nafsu akan membawa
kecelakaan dan konflik dalam negeri.
Selain
itu, turut diceritakan mengenai isu pantang larang sebagai adat istiadat dan
perundangan negara. Dalam Sulalatus Salatin aspek adat istiadat dan pantang
larang merupakan elemen perundangan dalam pentadbiran negara. Ia hendaklah
dipatuhi oleh semua pihak demi melahirkan kententeraman dan kemakmuran Melaka.
Antaranya ialah pantang larang berpakaian. Rakyat jelata dilarang dari
menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal
besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan
destar, Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana, seseorang itu harus
memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya
berkeris di belakang akan dirampas.
Di samping itu, pantang Derhaka.
Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan kepada raja.
Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan payung
rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang itu
menderhaka maka balasan buruk bakal menanti, iaitu hukuman bunuh. Bagi
penderhaka, ia tidak layak untuk berada di atas bumi. peristiwa ini dapat
dilihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak
menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati dibunuh di tangan
sahabatnya sendiri, Hang tuah. Begitu juga dengan mayatnya turut dibuang ke
laut serta anak isterinya turut dibunuh. Kaki tiang dan tanah bekas rumahnya
turut dibuang ke laut. Betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak
layak untuk berada di bumi.
Mengenal
Ciri-ciri Karya Agung
Antara ciri-ciri karya agung
seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat al-Nafis, Hikayat
Hang Tuah dan Bustanul Katibin adalah seperti berikut, iaitu:
·
Lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya.
·
Nilai
seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa.
·
Nilai ilmu.
·
Teknik kepengarangan dan seni bahasa.
Karya agung banyak memperlihatkan
tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Membicarakan
Karya Agung
Karya agung ialah karya klasik
yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup
yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap
sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya
itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi
dan identitinya yang tersendiri.
Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India,
Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah,
sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala
mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman,
dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya
sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Karya Agung Melayu pula ialah
karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir
bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan
hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui
bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan
falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun
Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera
ini.
Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau
dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu,
tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama
ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau
orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan
karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira
di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam
bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan
kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.
Membuat
Analisis Kritis dan Mereviu Sebuah Karya Agung
Sulalatus Salatin yang juga
dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan kitab hasil kepengarangan Tun Sri
Lanang. Karya ini menceritakan zaman kesultanan Melayu melaka yang dikatakan
dibawa dari Goa. Goa yang selama ini dianggap di India, sebenarnya merupakan
suatu tempat yang terletak di Sulawesi Indonesia. Karya ini telah dikarang oleh
Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara Paduka Johor antara tahun 1580
hingga 1615. Tun Sri Lanang telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun
1565. Sulalatus Salatin mengandungi 15 bab.
Permulaan bab dibincangkan dengan
jurai keturunan raja Melaka sehingga pembentukan Melaka ataupun sesudah
pembukaan Melaka. Pembahagian perbincangan Sulalatus Salatin terbahagi kepada 2
bahagian, iaitu sebelum pembukaan kota Melaka (mengandungi 4 bab) dan selepas
pembukaan kota Melaka (mengandungi 11 bab). Karya Sejarah Melayu ini mempunyai
banyak versi. Namun, pembentang pada hari tersebut tidak memberitahu secara
jelas versi kitab yang dirujuk mereka untuk pembentangan pada hari tersebut.
Tiada dijelaskan juga mengenai perbezaan– perbezaan antara versi Kitab Sejarah
Melayu yang lain. Berdasarkan pembentangan yang lalu, dapat saya rumuskan
bahawa karya agung ini mengutarakan pelbagai falsafah dan etika di dalamnya.
Pada hari pembentangan, para pembentang telah mengutarakan tujuh falsafah,
iaitu ketaatan kepada pemerintah, keadilan, waad, nilai dan etika, adat,
keberanian, dan kekuasaan.
Dalam karya ini, falsafah
ketaatan dirujuk kepada beberapa orang tokoh yang disebut dalam karya ini,
antaranya ialah Demang Lebar Daun, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Hang Nadim
dan Bendahara Seri Maharaja. Demang Lebar Daun seorang yang taat apabila
membenarkan puterinya berkahwin dengan Seri Tribuana. Hang Tuah pula terlalu taat
kepada sultan sehinggakan rela menerima hukuman bunuh dari sultan setelah
difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun
beliau tidak bersalah. Baginda Paduka Raja dikatakan taat kepada sultan apabila
akur dan tidak memprotes apabila anaknya, Tun Besar dibunuh oleh anak sultan
apabila bola sepak raganya terkena destar anakanda sultan lalu terjatuh ke
tanah. Berpegang kepada prinsip “adat Melayu tidak perbah derhaka” maka Baginda
Paduka Raja menerima perkara tersebut meskipun anaknya mati dibunuh. Kesimpulan
yang dapat dibuat dari falsafah ketaatan ini, konsep ketaatan yang diamalkan
terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung–agungkan sultan biarpun tindakan
sultan tersebut adalah salah dan melampau.
Namun,
kami berasa agak keliru kerana Baginda Seri Maharaja dikatakan seorang yang
taat kepada sultan. Hal ini kerana, keengganan beliau mempersembahkan puterinya
kepada Sultan Mahmud telah menunjukkan ciri penderhakaan kepada sultan.
Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang
dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat
kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya
daripada memberontak. Mungkin peristiwa ini menabalkan beliau sebagai seorang
yang taat kepada sultan.
Falsafah kedua yang dibentangkan
adalah Waad. Waad merupakan kontrak sosial di antara Demang Lebar Daun dan Sang
Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti
menghidapi penyakit kerdal. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Saya
melihat waad ini sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan
pemerintah dan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik.
Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja dan raja juga tidak boleh
menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja.
Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja da sekiranya
tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana.
Falsafah ketiga yang diutarakan
ialah falsafah keadilan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah wujudkan undang –
undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Ganjaran kepada kesilapan
adalah hukuman. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan mengenai sikap
raja yang adil. Ketidakadilan raja juga dengan beraninya ditonjolkan oleh Tun
Sri Lanang. Beliau patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan
sahaja, malah turut menceritakan kezaliman raja terhadap rakyat dan
pembesar–pembesarnya. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan
raja.
Falsafah keempat yang ditonjolkan
telah dalam pembentangan adalah falsafah adat. Adat merupakan peraturan yang
diamalkan sejak turun – temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam Kitab ini terdapat
banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada
antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai
dengan peredaran masa.
Falsafah kelima yang ditunjukkan
adalah falsafah kekuasaan. Kitab ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan
raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa
sahaja kepada rakyat da rakyat perlu menunaikannya jika tidak mahu dihukum.
Saya melihat, kuasa raja sebagai kuasa mutlak terlalu banyak menindas golongan
rakyat. Kandungan kitab ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup
berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu
berkuasa sehingga bertindak zalim di luar batas kemanusiaan. Justeru, tidak
hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan
buruk rupa.
Falsafah
keenam yang ditonjolkan dalam pembentangan ialah keberanian. Keberanian raja
merujuk kepada keberaniannya menjajah da mentakluk negeri lain untuk meluaskan
pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut diceritakan mengenai sikap
keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti badang. Kitab
ini banyak menonjolkan ketokohan keberanian Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan
sebagai seseorang yang sangat hebat. Perkara ini seperti sengaja ditonjolkan
untuk menunjukkan kehebatan dan keberanian orang-orang Melayu pada waktu
tersebut.
Falsafah ketujuh yang ditonjolkan
ketika pembentangan adalah nilai dan etika. Etika dan nilai yang digarap dalam
kitab ini diwarisi rakyat. Kitab ini juga menggariskan tugas–tugas raja dan
pembesar dan peranan–peranan rakyat. Raja juga sebagai bayangan tuhan atau
payung kepada rakyat.
Kesimpulannya, secara keseluruhan
dapat dilihat betapa karya agung ini bersifat sejagat dan menyeluruh. Namun,
terdapat unsur–unsur mitos yang seakan–akan tidak masuk akal di dalam kitab
ini. Kekuasaan yang ditonjolkan oleh raja secara melampau dan juga kezaliman
raja menunjukkan betapa tidak adilnya raja pada suatu ketika dahulu. Dalam
kitab ini juga ditonjolkan secara melampau ketaatan kepada raja. Justeru,
pepatah ‘adat Melayu tidak menderhaka’ begitu terserap dalam masyarakat Melayu
pada suatu ketika dahulu.
Hang Tuah dalam Tamadun Melayu
MANUSKRIP HIKAYAT HANG TUAH bertulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.
Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.
Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.
Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.
No comments:
Post a Comment