Wednesday 26 November 2014

Idealisme dan Falsafah dalam Karya Agung



Idealisme Berunsurkan Alam

Setiap karya yang dihasilkan oleh penulis mempunyai inti pati seperti idealisme yang tersendiri. Hal in berlaku kerana setiap manusia sememangnya memiliki tahap pemikiran yang berbeza. Oleh yang demikian, maka karya yang dihasilkan juga mengandungi idealisme yang berbeza antara satu sama lain. Pengkarya atau penulis selalunya akan menghasilkan idealisme tentang benda atau perkara yang terdapat di sekeliling mereka. Salah satu daripada idealisme yang sering kita lihat atau dapati daripada karya-karya agung Melayu ialah idealisme berunsurkan alam sekeliling. 

Huraian pemikiran atau idealisme yang berunsurkan alam ini merupakan pemikiran ke arah benda hidup atau tidak hidup seperti haiwan, lautan, api dan tumbuh-tumbuhan serta alam di ruang angkasa. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengkarya itu memiliki imaginasi yang cukup tinggi dalam menghasilkan sesebuah karya. Unsur alam ini selalu digunakan oleh pengkarya untuk menggambarkan sesuatu perkara atau untuk melambangkan perumpamaan selain unsur alam yang terdapat dalam peribahasa yang digunakan dalam sesebuah karya.
            
            Carek baju dilanggar todak,
            Baharu menurut kata budak.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
            
Berdasarkan kepada petikan puisi di atas, kita dapat bahawa pengkarya menerapkan unsur alam, iaitu haiwan dan manusia. Unsur ini perlu disisipkan dalam puisi ini kerana puisi ini sememangnya mengisahkan tentang Singapura yang telah dilanggar oleh todak. Puisi ini sememangnya berkaitan dengan alam dan keadaan sekeliling.

Falsafah Alam

Kehidupan manusia sememangnya berkaitan dengan alam duniawi di sekeliling. Hal ini demikian kerana manusia hidup dalam ruang alam yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan dan haiwan berserta air dan daratan. Berikut merupakan contoh unsur alam yang terdapat dalam karya agung:
Teks 1:
            “Tiada pada langit itu kira-kira yang lapang daripada awan dan mega”
(Bustan al-Katibin: 45)
Teks 2:
            “Kacang itu jika disayur dengan santan terlalu baik, dibubuh garam, maka            bertambah-tambahlah baiknya”.
(Bustan al-Katibin: 28)
Teks 3:
            “Atau suara binatang seperti berkiok kepada ayam dan mengembek kepada           kambing, semuanya nama bagi suara belaka”.
(Bustan al-Katibin: 38)
            
Suntingan teks berikut merupakan suntingan karya dalam Bustan al-Katibin yang mengisahkan tentang alam. Unsur alam ini wujud dalam sesebuah karya kerana alam merupakan suatu elemen yang paling dekat dengan kehidupan manusia. Selain itu, manusia juga turut mempelajari tentang alam dalam kehidupan mereka.

Kita dapat lihat bahawa unsur alam yang terdapat dalam teks 1 ialah alam semesta, iaitu langit dan awan. Pada teks kedua pula kita dapat lihat bahawa unsur alam di situ merujuk kepada sayur, iaitu kacang, manakala teks ketiga pula unsur alam yang merujuk kepada haiwan seperti ayam dan kambing. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengkarya menghasilkan falsafah dalam karya dengan merujuk kepada kehidupan sendiri.

Falsafah Islam

Falsafah Islam ini sememangnya suatu yang bukan asing dengan karya-karya agung Melayu. Prinsip Islam dalam hidup merupakan sebagai ajaran dan kitab-kitab merupakan sebagai panduan kehidupan begitu juga dengan konsepnya dalam karya agung Melayu. Falsafah Islam ini ialah suatu peringatan supaya manusia sering mengingati pencipta serta ajaran-Nya. Selain itu, konsep Islam dalam karya agung juga membantu manusia untuk mengenal sesuatu yang dibenarkan atau ditolak oleh agama. Penulis karya agung Melayu sering kali menyisipkan ilmu Islam dalam teks karya dalam sesuatu situasi.

Teks 1:
            “Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah         Taala yang akan memelihara akan kamu kerana wa man yatawakkal ‘ala’llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah;………… Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa”.
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 186-187)
Teks 2:
            “Dengan (Al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta   kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaannya dan (denganNya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita( kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan tunjukkan ke    jalan yang lurus.
(Surah al Maa’idah: ayat 16)
            
Unsur Islam sememangnya dapat dilihat dengan nyata pada kedua-dua teks di atas. Kita dapat melihat bahawa pengkarya banyak menggunakan kata-kata yang melibatkan Tuhan dan suruhan-Nya dalam agama Islam. Pengkarya juga turut menggunakan surah dalam al-Quran untuk menerapkan unsur Islam dalam karya mereka bagi menyedarkan umat-umat Islam yang lain berkenaan dengan agama mereka. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa dalam karya agung terdapat falsafah yang berunsurkan agama seperti agama Islam. 

Berdasarkan falsafah yang berunsurkan Islam dalam karya tersebut jelas menunjukkan pengkarya telah memilih bidang yang berkaitan dengan kehidupan sendiri untuk dijadikan sebagai falsafah dalam karya. Di samping itu, falsafah yang berunsurkan Islam ini juga jelas menunjukkan pengkarya tersebut sememangnya cenderung dengan agama mereka, iaitu agama Islam. Unsur Islam dijadikan sebagai falsafah dalam setiap karya bertujuan untuk menjadi panduan kepada para pembaca selain untuk mengingatkan mereka tentang ajaran yang perlu dipatuhi oleh seluruh umat Islam di muka bumi ini.
                         

Falsafah Keadilan

Falsafah keadilan ini sering dikaitkan dengan pimpinan pembesar terhadap golongan bawahan atau dalam kalangan pembesar sendiri seperti raja atau sultan. Pada zaman dahulu, kepimpinan sultan adalah sangat tidak adil kerana adalah tersebut bahawa titah atau perintah sultan haruslah diikuti dan sekiranya pembesar yang lain atau orang bawahan ingkar maka mereka akan dianggap menderhaka kepada sultan.

Kepimpinan sultan yang tidak adil dapat dilihat pada pimpinan Sultan mahmud Syah. Hal ini terbukti apabila baginda telah bersikap tidak adil terhadap rakyatnya. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah telah melakukan kezaliman terhadap rakyatnya akibat dendamnya terhadap Tun Fatimah sekeluarga. Dengan ini, baginda telah membunuh Tun Mutahir, Tun Ali dan keluarga Tun Fatimah untuk memuaskan hatinya akibat dendam terhadap keluarga itu. Berdasarkan situasi ini, maka kita dapat melihat dan membuat analisis bahawa Sultan mahmud Syah ini merupakan seorang sultan yang mengamalkan nilai yang tidak adil dalam memerintah negerinya.
            
Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata dalam hatinya,“Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita”.
            Maka Sultan mahmud Syah pun berdehemlah rasanaya akan Bendahara Seri         Maharaja.
(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 201)
            
Dengan ini, kita dapat meneliti sendiri penggunaan falsafah yang berunsurkan nilai keadilan dengan membaca suntingan teks seperti di atas. Berdasarkan teks tersebut, jelas menunjukkan Sultan Mahmud tidak adil dengan rakyatnya. Baginda telah melakukan sebarang perkara yang baginda inginkan tanpa mengira perbuatan itu salah dari segi hukum alam atau tidak.


Falsafah Melayu
            
Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tergolong dalam sub keluarga Indonesia Pusat yang berasal daripada keluarga Nusantara. Para pengkaji telah menggunakan rajah salasilah bahasa untuk mengkategorikan setiap rumpun. Melayu merupakan suatu rumpun bangsa yang wujud daripada kaum keluarga Austronesia. Rumpun Austronesia terbahagi kepada dua, iaitu Austronesia Barat dan Austronesia Timur. Rumpun Austronesia Barat telah melahirkan keluarga bahasa Nusantara atau Indonesia. 

Keluarga bahasa ini dibahagikan kepada dua, iaitu sub keluarga Indonesia Pusat dan sub keluarga Filipina-Formosa. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tergolong dalam sub keluarga Indonesia Pusat. Menurut Perlembagaan Malaysia Perkara 153, orang Melayu disifatkan beragama Islam, berbahasa Melayu dan memegang adat dan budaya Melayu.
            
Kaum Melayu telah ditakrifkan sebagai orang yang bercakap menggunakan bahasa Melayu, hidup seperti orang Melayu. Melayu juga turut dikenali dengan orang yang memiliki kulit yang sawo matang, iaitu tidak hitam dan tidak juga cerah.

            “Maka hendaklah diperbuat tiap-tiap seorang pada tatkala berkirim surat-  suratan dengan perkataan halus, jika pada pencuri sekalipun”.
(Bustan al- Katibin, hal. 68)
            
Berdasarkan kepada petikan tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa maksud yang ingin disampaikan melalui petikan tersebut ialah mengenang orang Melayu yang sentiasa berbudi pekerti apabila berbicara dengan sesiapa pun. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sifat kesantunan dalam berbahasa dan sentiasa sopan serta memiliki pekerti yang mulia. Masyarakat Melayu juga sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak berlaku sebarang konflik atau salah faham selain membuktikan bahawa mereka terkenal dengan sifat keayuan yang asli terutamanya golongan perempuan.


Budi Bahasa

Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd. Rashid Idris, 2011 : 64). Contoh karya agung yang mengandungi unsur budi bahasa ialah :


Teks 1
            “Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam        Isnin 12 hari bulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun bahawa Syeikh itu alim pada           tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya”.
(Bustan al-Salatin, 1992)

Berdasarkan kepada petikan ini. jelas menunjukkan bahawa Nuruddin sememangnya seorang yang sangat berbudi bahasa. Hal ini terbukti apabila beliau tetap menghormati Syamsuddin sebagai seorang ulama walaupun mereka bertengkar.

Teks 2
            “Demikian lagi apabila selesai surat itu disuratnya, hendaklah dibaca dahulu         dimuqabalah kan. Dan tiada harus orang lain yang membacanya jika tiada dengan izinnya dan tiada pula orang lain yang menyuratkannya. Bagi orang lain, yang mengkhabarkan barang yang di dalam surat itu kepada seseorang lain jika tiada izinnya tuan yang punya surat itu adanya”.
(Bustan al-Katibin: 15) 

Hati Budi

Hati budi merupakan perihal hati yang baik. Hati yang baik harus dimiliki oleh setiap insan supaya kehidupan sentiasa diwarnai dengan keharmonian dan keindahan. Seseorang individu haruslah diasuh dengan amalan-amalan yang mulia sejak kecil lagi, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” supaya dia sentiasa mengamalkan amalan yang telah dididik. Unsur hati yang baik ini dapat dilihat dalam petikan teks karya agung yang berikut :

            “Kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang            bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bulan Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin”
 (Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj. Salleh, 19992)

Akal Budi

Setiap manusia sememangnya dikurniakan akal oleh Pencipta. Walau bagaimanapun, setiap manusia mempunyai akal yang berbeza, iaitu ada yang bijak dan kurang bijak. Akal yang bijak amat perlu dimiliki oleh seseorang manusia supaya seseorang individu itu mampu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk. Akal budi seseorang juga akan menentukan karakter seseorang individu. Selain itu, seseorang individu itu juga akan mampu untuk menguruskan kehidupannya sendiri serta keluarganya. 

Contoh karya agung yang memaparkan tentang kisah seorang yang bijak akal budinya adalah seperti di bawah:
           
            Namanya Raden Puspa Kencana,
            Lakunya bijak laksana,
            Akal bicaranya amat sempurna,
            Sifatnya lengkap hamba laksana
(Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)
            
Pengkarya menunjukkan Raden seorang yang bijak dan cerdik dalam syair ini. Hal ini terbukti apabila tiada orang yang mampu menandingi Raden Puspa Kencana dalam debat. Pengkarya memuji sifat atau karakter Raden dalam syair ini kerana beliau memiliki akal yang cerdik sehingga tiada orang yang mampu mengalahkannya untuk berlawan debat. Nilai ini diselitkan dalam syair ini untuk menyedarkan masyarakat bahawa kebijaksanaan dan kecerdikan akal itu amat penting dalam menentukan masa depan sendiri.

Falsafah Adat

1. Adat Menghadap raja di Balairung

Karya agung Melayu sememangnya terkenal dengan karya yang mengisahkan tentang sistem pemerintahan yang melibatkan golongan atasan dan bawahan. Oleh yang demikian kaum Melayu sangat kaya dengan adat khususnya adat yang berkaitan dengan istana, adat untuk menghadap raja di balairung. Semasa menghadap raja, pembesar-pembesar akan duduk mengikut ketinggian pangkat. Anakanda-anakanda raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. 

Penyataan ini terbukti melalui petikan teks yang di bawah:
          
“Kemudian daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-Besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala kepercayaannya”.
(A. Samad Ahmad, 1979)
            
Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa raja atau sultan merupakan kedudukan tertinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu zaman dahulu dan kini. Oleh yang demikian, sesiapa yang melanggar perintah sultan akan dianggap menderhaka kepada baginda. Oleh itu, maka adat menghadap raja merupakan suatu adat yang penting dalam kalangan orang Melayu supaya tidak dianggap menderhaka dan menerima hukuman daripada sultan.
  
2. Adat Penganugerahan Gelaran

Adat ini dilakukan semasa ada orang yang akan mendapat gelaran daripada sultan. Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang akan diberi gelaran. Cara jemputan juga harus dijalankan selari dengan gelaran atau pangkat yang akan diterima oleh orang itu. Orang besar-besar akan menjemputnya sekiranya orang itu menerima anugerah “Perserian”. Namun bagi orang yang menerima anugerah “Persangan”, orang itu akan dijemput oleh orang kecil-kecil sahaja. 

Orang yang bakal menerima anugerah itu juga akan dijemput dengan gajah atau kuda, iaitu mengikut anugerah yang bakal diterimanya juga. Mereka juga turut akan diiringi dengan gendang serunai sambil menggunakan payung untuk masuk ke istana. Riwayat orang yang bakal menerima anugerah itu akan dibaca setibanya beliau di istana. Kemudian, orang itu akan diberikan persalinan mengikut anugerah yang bakal diberikan oleh sultan.

            “Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang      beradat. Maka dijemput orang itu: jika “Perserian”, Orang Besar-besar     menjemput dia; jika “Persangan”, orang kecil menjemput dia; jika “Pertuanan” orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besarnya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan bentara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang yang bergelar juga”.
(A. Samad Ahmad, 1979: 76)


Falsafah Kekuasaan

Falsafah kekuasaan juga turut terdapat dalam karya agung Melayu. Kekuasaan ini membawa makna kepada pengaruh yang dimiliki oleh seseorang khususnya pemerintah. Falsafah kekuasaan dalam sesebuah karya agung selalunya ialah melibatkan kuasa seorang raja atau sultan. Hal ini demikian kerana kedudukan raja merupakan kedudukan yang tertinggi dalam sistem organisasi sosial sebuah kerajaan khususnya zaman dahulu. Oleh itu, kuasa raja amat besar dan raja merupakan seorang yang sangat berpengaruh.

Hal ini bermakna titah yang raja keluarkan harus dipatuhi dan diikuti oleh semua rakyatnya. Dengan ini, berlakunya penindasan terhadap rakyat ekoran daripada salah gunaan kuasa dalam kalangan raja. Raja telah mengambil kesempatan dengan melakukan kezaliman dengan kuasa yang mereka miliki. Hal ini terbukti dengan tindakan Sultan mahmud Syah yang telah berdendam terhadap keluarga Tun Fatimah serta membunuh mereka sekeluarga. 

Petikan di bawah merupakan bukti raja menggunakan kuasanya dengan kezaliman terhadap rakyatnya.

            Maka Sultan Mahmud Syah menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segera    membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala senjatanya.
            Maka dibunuhlah Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara al-Diraja dan segala    anak buahnya yang mahu mati sama-sama dengan dia.
            Setelah itu maka Sang Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada     Tun Sura, “Titah Yang Dipertuan jangan semuanya dibunuh, tinggalkan akan benih”.
(Muhamad Haji Salleh, 1997: 205)



Falsafah Bahasa

Falsafah bahasa dalam sesebuah karya mempunyai nahu atau tatabahasa yang tertentu. Tatabahasa dalam sesebuah karya adalah merujuk kepada sistem dan struktur bahasa yang digunakan. Penggunaan bahasa yang nyata dalam sesebuah karya seperti puisi ialah memiliki bilangan ayat yang berbeza. Selain itu, pemilihan kata yang digunakan juga tergolong dalam aspek nahu bahasa. 
Walau bagaimanapun, terdapat juga penggunaan ayat yang gramatis dalam sesebuah karya yang dianggap sempurna dari segi nahu. Karya-karya agung juga turut mengandungi kata-kata atau bahasa-bahasa yang halus. Penggunaan kata halus ini dapat dilihat dengan jelas pada nyanyian Kapitan Melaka.

Dihela-hela diretak sehasta                                                                                         Kandis dipenggalkan 
Alangkah gila Raja Kecil                                                               
Menggusta manis ditinggalkan                                                                      
Melihat buah hartal masuk.
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)
            
Dengan ini, jelas menunjukkan dalam sesebuah karya itu terkandung maksud yang tersurat dan tersirat. Seseorang individu itu perlu memahami perkara yang dibincangkan untuk mengetahui perkara yang disampaikan dalam sesebuah karya agung Melayu. Selain itu, berdasarkan karya ini juga jelas membuktikan bahawa bahasa itu amat penting dalam kalangan masyarakat Melayu. Kaum Melayu sememangnya terkenal memiliki sifat budi bahasa yang tinggi selain menggunakan bahasa-bahasa yang indah untuk menggambarkan sesuatu.

Kesimpulannya, idealisme dan falsafah dalam merupakan dua bidang ilmu yang berbeza. Hal ini dapat dilihat dengan jelas berdasarkan definisi bagi kedua-dua perkataan ini oleh Kamus Dewan Edisi Keempat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), idealisme merupakan sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, manakala falsafah pula telah didefinisikan sebagai suatu pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain. Oleh itu, dalam setiap karya agung sememangnya wujud idealisme pengkarya yang berdasarkan imaginasi mereka manakala falsafah pula merupakan pengetahuan mereka tentang sesuatu perkara yang boleh dikaitkan dengan sesuatu unsur bagi melengkapkan situasi dalam karya.

            Berdasarkan idealisme dan falsafah yang telah dikemukakan oleh para pengkarya jelas mereka menggunakan cara yang tersendiri dalam menyampaikan idealisme dan falsafah dalam sesebuah karya. Setiap pengkarya akan mencenderungkan karya mereka dengan pemikiran mereka yang tersendiri. Kita juga dapat lihat bahawa pengkarya mengemukakan idealisme atau falsafah yang berkaitan dengan kehidupan mereka sendiri. Sebagai contoh, Raja Ali Haji berkecenderungan mengaitkan karya beliau dengan idealisme yang berunsurkan Islam dengan menyelitkan unsur-unsur Islam dalam karya beliau. Tuntasnya, setiap pengkarya menggunakan pemikiran atau perkara yang berkaitan dengan kehidupan mereka dalam menghasilkan idealisme dan falsafah.

No comments:

Post a Comment