Thursday 27 November 2014

Definisi dan Etimologi Melayu


KONSEP MELAYU

Definisi awal istilah “Melayu”

  • M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis. 
  • Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana terdapat perkataan malaya-dvipa.
  • Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
  • Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang.
  • Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.
  • Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya.
  • Buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.



Definisi “Melayu” dari segi etimologi

Etimologi : Kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut.

  • Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan “hima alaya”. “Alaya” bermaksud “tempat” manakala “hima alaya” bermaksud “tempat bersalji”.
  • Perkataan Malayapura yang bermaksud “kota Melayu” atau “kerajaan Melayu”.
  • Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, mlayu yang bermaksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”.
  • Berasal daripada nama sebatang sungai, Sungai Melayu yang disebut dalam buku Sejarah Melayu.
  • Van der Tuuk , perkataan Melayu bererti “menyeberang”, merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam.


Etimologi “Melayu” dalam Sejarah Melayu 
(Sulalatus Salatin)

Maksud Etimologi

Etimologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:402) bermaksud cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Sementara, Pusat Rujukan Persuratan Melayu pula menyatakan “etimologi” itu sebagai cabang ilmu bahasa mengenai asal-usul perkataan serta perubahan pada bentuk dan maknanya ataupun cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal-usul dan perkembangan sesuatu kata.

Etimologi “Melayu”

Perbincangan perkataan “Melayu” akan dilihat dari segi asal usul dan perkembangan perkataannya. Walau bagaimanapun, perkara utama yang harus ditekankan ialah perbincangan ini hanya meliputi kajian perkataaan tersebut terhadap karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sahaja. Justeru, dapat kita lihat bahawa sejauh mana perbincangan tentang asal usul perkataan “Melayu” itu sendiri dalam karya agung Sulalatus Salatin oleh Bendahara Tun Sri Lanang.

Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang tercipta dari titah raja:

“Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(Ismail Hussein:119:1988)

Karya ini membincangkan tentang sejarah negeri Melaka, asal-usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu, corak kebudayaan Melayu tradisi, kepolitikan, sosial dan ekonomi Kerajaan Melayu Melaka pada masa itu, serta beberapa cerita yang berbentuk mitos dan dongeng yang tujuannya sebagai pengajaran kepada raja-raja Melayu seterusnya. Oleh itu, dapat gambarkan tentang perbincangan dalam karya Tun Sri Lanang, yakni beliau hanya banyak menyentuh tentang kehidupan raja-raja dan golongan istana, atau pendapat sarjana lain mengatakan bahawa Tun Sri Lanang menuliskan karya ini dengan sifat mengagung-agungkan raja-raja Melayu pada ketika itu.

Namun, terdapat satu petikan pembukaan dalam bab III versi Muhammad Haji Salleh (1997:20) berbentuk;

“Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.”
(Sulalatus Salatin, 1997:20)

Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin mengatakan terdapat sebatang sungai disana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan “Melayu” itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci.


            
Hal ini dapat kita katakan bahawa tiada perbincangan langsung tentang asal-usul perkataan “Melayu” dalam karya Tun Sri Lanang. Beliau hanya menekankan cerita-cerita mengenai kehidupan raja-raja Melayu pada ketika itu serta hal-hal seperti yang dinyatakan tadi.

Sumber:
http://karyaagung3022.blogspot.com/2013/05/definisi-dan-etimologi-melayu_21.html

No comments:

Post a Comment